Am 09/11/2026 04:09 PM

UUM Tawar Kepakaran, Khidmat Perundingan Keselamatan Siber

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UUM Tawar Kepakaran, Khidmat Perundingan Keselamatan Siber
kredit: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

ALOR SETAR, 9 Nov (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia menawarkan kepakaran dan khidmat perundingan dalam bidang keselamatan siber bagi membantu pelbagai pihak menangani ancaman serangan siber yang semakin meningkat.

Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata universiti itu mempunyai tenaga akademik berkemahiran dalam bidang berkenaan menerusi Pusat Pengajian Pengkomputeran serta UUM Information Technology (UUMIT).

Beliau berkata UUM turut menawarkan program Ijazah Sarjana Keselamatan Siber yang diperkenalkan tahun lepas bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang itu.

“UUM sebenarnya telah pun menawarkan Ijazah Sarjana Keselamatan Siber dan dengan adanya program ini, kami mempunyai pakar yang boleh membantu negara, terutama bagi menangani ancaman siber.

“Mana-mana pihak yang memerlukan bantuan, pandangan atau khidmat perundingan berkaitan keselamatan siber boleh menghubungi UUM kerana kami mempunyai pensyarah yang pakar dalam bidang ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan UUM membantu negara mengatasi ancaman serangan siber yang dilaporkan berlaku di beberapa negara, termasuk Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Martadha berkata UUM turut memperkukuh perlindungan sistem bagi mengelakkan pencerobohan laman web dan pangkalan data universiti itu.

Beliau berkata pihak UUMIT diminta menjalankan penelitian dan kajian bagi memastikan sistem keselamatan siber universiti berada pada tahap terbaik, termasuk penggunaan sistem tembok api berkualiti tinggi.

“UUM turut mengambil langkah mengehadkan akses dari luar negara terhadap laman web dan sistem tertentu susulan insiden serangan siber yang dikesan berlaku di universiti itu pada bulan ini.

“Bagaimanapun, sekatan berkenaan perlu mengambil kira keperluan urusan melibatkan pelajar antarabangsa,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pelajar antarabangsa yang menghadapi masalah mengakses perkhidmatan dalam talian universiti boleh menghubungi pihak UUM untuk mendapatkan bantuan dan tindakan lanjut.

-- BERNAMA