Am 09/11/2026 04:13 PM

RM388,814 Diperuntuk Kepada Kuil, NGO Masyarakat India Di Parlimen Kulai Sejak 2022

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
RM388,814 Diperuntuk Kepada Kuil, NGO Masyarakat India Di Parlimen Kulai Sejak 2022
Kredit: FB - Teo Nie Ching

KULAI, 9 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM388,814 diperuntukkan kepada kuil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India di kawasan Parlimen Kulai sejak 2022 hingga kini.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata pemberian peruntukan itu merupakan komitmen berterusan dalam menyokong aktiviti keagamaan, kebajikan serta pembangunan komuniti masyarakat India di kawasannya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata peruntukan itu termasuk sumbangan wang tunai dan bakul makanan berjumlah RM100,000 kepada masyarakat India B40 bersempena dengan sambutan Deepavali tahun ini.

"Seiring dengan perayaan Deepavali, peruntukan RM10,000 turut diberikan kepada Kuil Dewi Sri Maha Mariamman, Bandar Putra bagi tujuan pembelian sistem siar raya," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM546,687 peruntukan turut disalurkan kepada empat buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kulai sejak 2022.

Teo berkata peruntukan itu diberikan kepada SJKT Ladang Kulai Besar, SJKT Ladang Kulai Oil Palm, SJKT Ladang Kelan dan SJKT Ladang Sedenak untuk pembangunan serta penambahbaikan kemudahan sekolah.

Beliau berkata Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 terus memberikan komitmen dalam memperkasakan kebajikan masyarakat India.

Menurut beliau, dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) turut ditingkatkan kepada 150 Juta selain peruntukan RM150 juta bagi pembiayaan usahawan India melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Sementara RM50 juta disediakan bagi tujuan baik pulih dan penyelenggaraan SJKT daif serta peruntukan RM80 juta bagi tujuan penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam Berdaftar," katanya.

-- BERNAMA