Am 09/11/2026 03:01 PM

Kadar SHAKAM Wajar Disemak Semula, Keputusan Dalam Masa Terdekat - Dr Mohammed Taufiq

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kadar SHAKAM Wajar Disemak Semula, Keputusan Dalam Masa Terdekat - Dr Mohammed Taufiq
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Kadar pemberian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang telah lama diguna pakai wajar disemak semula dan sebarang keputusan mengenainya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata perkara itu kini berada dalam perhatian kementeriannya selepas isu berkenaan disuarakan oleh pihak berkepentingan dalam arena sukan negara.

“Saya mengambil perhatian berkaitan isu SHAKAM yang dibangkitkan oleh atlet dan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

“Kadar pemberian itu telah lama diguna pakai dan wajar disemak semula. Keputusan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini. 

Sebelum ini, Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berpandangan agar kadar skim ganjaran bagi acara berpasukan, khususnya yang melibatkan lebih lima pemain dikaji semula bagi memastikan insentif yang diterima atlet lebih setimpal dengan komitmen serta pengorbanan mereka.

Beliau berkata perbezaan imbuhan RM80,000 bagi pemenang pingat emas individu berbanding hanya RM15,000 seorang untuk atlet sepak takraw dalam acara berpasukan mempunyai jurang yang besar. 

Menurut Mohd Sumali, luahan tekong utama negara Syahir Rosdi yang terkilan dengan jumlah insentif yang diterima selepas membantu skuad sepak takraw negara meraih emas berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas 36 tahun mempunyai asas dan wajar dipertimbangkan.

-- BERNAMA