Am 09/11/2026 02:32 PM

JMB Berkuasa Kawal Selia, Bukan Hak Mutlak Larang Pelihara Haiwan Di Strata - Peguam 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JMB Berkuasa Kawal Selia, Bukan Hak Mutlak Larang Pelihara Haiwan Di Strata - Peguam 

Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Badan Pengurusan Bersama (JMB) mempunyai kuasa mengawal selia pemeliharaan haiwan di kondominium dan pangsapuri, namun kuasa itu tidak boleh ditafsirkan sebagai hak mutlak untuk mengenakan larangan terhadap pemilik di unit kediaman persendirian.

Peguam dan Rakan Kongsi Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata bidang kuasa JMB di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) tertakluk kepada undang-undang kecil berkanun serta tidak boleh bercanggah dengan peruntukan statutori sedia ada.

"JMB sememangnya mempunyai kuasa mengawal selia, namun kawal selia berkenaan tidak boleh dijadikan lesen untuk mengharamkan pemeliharaan semua haiwan secara menyeluruh," katanya kepada Bernama.

Senada dengan pandangan itu, peguam Ivan Ong Hong Bin dari Tetuan Ivan Gan & Liaw berkata tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil sekiranya wujud bukti nyata haiwan terbabit mendatangkan kacau ganggu, mengancam keselamatan atau menjejaskan kesihatan penghuni lain.

“Aduan umum atau andaian semata-mata tidak mencukupi. Penilaian perlu dibuat berdasarkan fakta kes dengan sokongan bukti jelas seperti keterangan saksi atau rakaman kejadian yang mengaitkan gangguan tersebut dengan haiwan berkenaan,” katanya.

Mengenai prosedur penguatkuasaan, Muhammad Akram berkata pihak pengurusan wajar menjalankan siasatan terperinci serta memberi peluang munasabah kepada pemilik untuk memberi penjelasan sebelum sebarang tindakan diambil.

Beliau merujuk kepada Perenggan 14(2) Undang-Undang Kecil Jadual Ketiga Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015, yang menetapkan pemilik yang melanggar peraturan diberi tempoh tiga hari untuk mengeluarkan haiwan berkenaan selepas menerima notis bertulis.

Dalam pada itu, Ivan menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan bekas atlet lari berpagar negara Noraseela Mohd Khalid baru-baru ini tidak bermaksud semua peraturan larangan haiwan peliharaan di strata lain terbatal secara automatik.

"Perintah mahkamah berkenaan mengikat pihak-pihak dalam kes tersebut manakala prinsip undang-undangnya boleh menjadi panduan bagi pertikaian lain, namun pemakaiannya perlu dinilai berdasarkan fakta dan keadaan setiap kes termasuk kandungan serta kesahan undang-undang kecil skim berkenaan dan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terpakai,” katanya.

Muhammad Akram mengingatkan bahawa hak memelihara haiwan di kediaman strata tidak mengecualikan pemilik daripada tanggungjawab undang-undang, khususnya membabitkan tuntutan ganti rugi jika berlaku kecederaan atau kemusnahan harta benda akibat kecuaian mereka.

Katanya, pemilik yang gagal mengawal haiwan peliharaan sehingga mendatangkan bahaya fizikal kepada orang lain juga boleh berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, penghuni kediaman bertingkat Nurliyana Izzati Shamsul Anuar, 28, berkata pihak pengurusan sewajarnya menetapkan garis panduan yang jelas seperti mengehadkan saiz haiwan, mewajibkan penggunaan tali cawak di kawasan guna sama serta memastikan aspek kebersihan dipatuhi.

"Walaupun tidak memelihara haiwan, saya percaya keharmonian komuniti boleh dicapai jika ada peraturan tegas terhadap pemilik yang culas mengawal haiwan mereka," katanya.

Bagi pemilik anjing M Thiviyani, 36, toleransi dan tanggungjawab kendiri menjadi kunci mengelakkan pertikaian sesama jiran, termasuk sentiasa meletakkan haiwan peliharaannya di dalam beg khas atau mengelak menaiki lif bersama penghuni lain demi menjaga sensitiviti jiran beragama Islam."

"Di kawasan kediaman saya, ramai jiran membela haiwan tetapi tiada isu berbangkit kerana masing-masing menjaga kebersihan. Semuanya bermula daripada sikap pemilik itu sendiri," katanya.

Pada 30 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan JMB tidak mempunyai kuasa mengenakan larangan mutlak terhadap pemeliharaan haiwan di unit persendirian menerusi penggubalan peraturan dalaman.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan sebahagian permohonan Noraseela terhadap JMB Kondominium Shang Villa menerusi peguamnya Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal.

-- BERNAMA