Am 09/11/2026 01:13 PM

KEMAS Lakar Sejarah, Program Jahitan Logo Ukir Nama Dalam MBOR

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KEMAS Lakar Sejarah, Program Jahitan Logo Ukir Nama Dalam MBOR
Kredit: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS)

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melakar sejarah apabila 1,036 peserta menjahit logo jabatan itu secara serentak pada 1,036 pasang baju seragam TABIKA KEMAS, sekali gus melayakkan inisiatif berkenaan diiktiraf dalam Malaysian Book of Records (MBOR).

Pengiktirafan itu dicapai menerusi Program Jahitan Logo KEMAS Largest Sewing Event yang berlangsung bersempena dengan Majlis Perasmian Penutupan Festival Masyarakat 2026 (FESMA 2026) di Dewan Besar Sultan Idris Shah, Universiti Islam Selangor (UIS), di Bangi, semalam.

KEMAS dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif itu, membuktikan keupayaan KEMAS menggerakkan kemahiran dan penyertaan komuniti bagi menghasilkan manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Pencapaian ini melibatkan penghasilan 1,036 pasang baju seragam lelaki dan perempuan, yang akan melalui proses kawalan kualiti sebelum disalurkan kepada kanak-kanak TABIKA KEMAS yang dikenal pasti,” menurut kenyataan itu.

Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Suriani Ahmad, dengan kehadiran Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man.

Sementara itu, FESMA 2026 turut menyaksikan Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Akademi Alpha Gen Talents @ KEMAS (AAGT), manakala Selangor muncul juara keseluruhan Hari Kemahiran KEMAS Peringkat Kebangsaan.

Dalam pertandingan Huffaz Cilik, Sabah mengungguli kategori lima tahun, diikuti Wilayah Persekutuan dan Johor, manakala Pahang menjuarai kategori enam tahun dengan Terengganu dan Melaka masing-masing di tempat kedua dan ketiga, sementara Perak muncul juara futsal bagi acara sukan AAGT, manakala Terengganu mengungguli pertandingan bola jaring dan Kids Athletics.

Hari Kemahiran KEMAS turut menampilkan pelbagai pertandingan berteraskan kemahiran tradisional, digital dan keusahawanan yang mengetengahkan kreativiti, serta kebolehan peserta dari seluruh negara.

Festival Kesenian Islam Peringkat Kebangsaan (i-Fest) turut memeriahkan FESMA 2026 menerusi pertandingan kompang dan marhaban, yang menyaksikan kumpulan Soutur Rahman Legend dari Sabah muncul johan, diikuti Kompang Warisan Ezhar dari Melaka dan Kumpulan Seri Mutiara Suria dari Johor.

Bagi acara marhaban, kumpulan Al Hilal mewakili Wilayah Persekutuan muncul juara, manakala Sautul Darul Aman dari Kedah dan Ahbabur Ruhama dari Johor, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

KEMAS berkata penganjuran FESMA 2026 mencerminkan komitmen jabatan dalam memperkasakan kemahiran, mencungkil bakat serta memelihara warisan dan budaya masyarakat melalui penglibatan komuniti di seluruh negara.

-- BERNAMA