Am 08/11/2026 12:00 AM

Ex Pahang Tewaskan Ex Kelantan 2-1, Bawa Pulang Piala Dan RM20,000

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ex Pahang Tewaskan Ex Kelantan 2-1, Bawa Pulang Piala Dan RM20,000
fb Bomba & Penyelamat Negeri Pahang

KUANTAN, 7 Nov (Bernama) -- Skuad Ex Pahang FA mencatat kemenangan 2-1 ke atas Ex Kelantan FA pada perlawanan persahabatan di Stadium Darul Makmur di sini malam ini, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan piala pusingan.

Pemain Ex Kelantan Mohd Badhri Radzi melakukan percubaan berbahaya dari luar kotak penalti pada minit ke-12, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Ex Pahang Remezey Che Ros.

Ex Pahang membuka jaringan pada minit ke-40 menerusi Mohd Shafie Zahari yang merembat kencang dari dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, Ex Kelantan berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-51 menerusi jaringan Indra Putra Mahyuddin.

Ex Pahang kembali mendahului pada minit ke-60 menerusi Mohd Faizol Hussien yang menyudahkan peluang dengan sepakan lambung ke penjuru gawang lawan.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Tok Gajah.

Pada 3 Mei 2025, Ex Pahang pernah tewas 1-2 kepada Ex-Treble Kelantan pada perlawanan akhir persahabatan amal Duo Cup 2025 di Stadium Sultan Muhammad IV.

-- BERNAMA