Am 07/11/2026 11:31 PM

Menteri Kabinet, Menteri Besar Ucap Selamat Deepavali, Harap Perpaduan Terus Diperkukuh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Menteri Kabinet, Menteri Besar Ucap Selamat Deepavali, Harap Perpaduan Terus Diperkukuh
fb Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Beberapa Menteri Kabinet hari ini mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu, selain mengingatkan masyarakat mengenai pentingnya terus mengekalkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berharap sambutan Deepavali yang penuh bermakna itu menjadi kesempatan kepada masyarakat untuk meluangkan lebih banyak masa bersama insan tersayang, sekali gus mengeratkan ikatan kekeluargaan.

“Buat seluruh masyarakat Hindu di Malaysia, khususnya para guru, murid dan keluarga besar pendidikan, saya titipkan ucapan penuh kasih agar perayaan ini membawa kebahagiaan serta kesejahteraan yang berpanjangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali berkata musim perayaan ini adalah medan terbaik untuk kita saling berkunjung dan mengeratkan silaturahim merentasi kaum serta budaya.

“Dalam kemeriahan menyambutnya, utamakanlah kesejahteraan kendiri dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Kurangkan gula dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman. Bagi yang pulang ke kampung atau menziarahi sanak saudara, pandulah dengan cermat nescaya jiwa selamat,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari pula berharap sambutan Deepavali tahun ini yang akan diraikan esok membawa ketenangan, rezeki dan kegembiraan kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu, selain menitipkan pesanan supaya memandu dengan berhati-hati ketika pulang ke kampung.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo menerusi hantaran di Facebook berkata sambutan Deepavali yang cukup istimewa di negara ini diharap membawa kebahagiaan, kedamaian dan harapan baharu kepada seluruh rakyat Malaysia.

Beliau turut mengajak masyarakat menjadikan kepelbagaian budaya dan kepercayaan sebagai asas untuk terus menyemarakkan semangat perpaduan, kasih sayang serta sikap saling menghormati.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berharap perayaan itu membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada masyarakat Hindu yang meraikannya bersama keluarga serta insan tersayang.

“Dalam kemeriahan sambutan ini, marilah kita terus menyuburkan semangat perpaduan, keharmonian dan sikap saling menghormati yang menjadi asas kekuatan masyarakat berbilang kaum serta agama di negara kita. Selamat Hari Deepavali!” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyifatkan Deepavali bukan sekadar melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, malah menjadi peringatan tentang kepentingan nilai murni dalam membentuk masyarakat bertamadun.

Beliau berkata kepelbagaian budaya, agama dan tradisi yang dimiliki Malaysia bukan sahaja memperkayakan warisan serta kehidupan masyarakat, malah turut menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.

“Sikap saling menghormati, memahami dan menerima perbezaan adalah asas keharmonian serta keunikan Malaysia yang perlu terus dipelihara.

“Dalam meraikan kepelbagaian ini, marilah kita terus menjunjung nilai kejujuran, keadilan dan integriti, serta berpegang teguh pada prinsip bahawa perkara yang benar harus sentiasa dipertahankan.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran pula berharap cahaya pelita Deepavali bukan sahaja menerangi setiap rumah, malah menyemarakkan kasih sayang, harapan dan kesejahteraan dalam kehidupan masyarakat.

Beliau berkata kebahagiaan yang dikongsi sempena perayaan itu diharap dapat menyuburkan lagi kasih sayang dan keprihatinan, selain memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat.

Sementara itu, turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim, dengan masing-masing berharap agar sambutan membawa kegembiraan, kebahagiaan serta kedamaian buat semua yang meraikannya.

-- BERNAMA