BUKIT MERTAJAM, 7 Nov (Bernama) -- Hujan lebat sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dinaiki air, selain dua kejadian pokok tumbang yang menghempap kenderaan serta merosakkan sebahagian struktur bangunan di daerah itu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) SPT dalam kenyataan memaklumkan antara kawasan terjejas ialah Seberang Jaya, Permatang Rawa, Tanah Liat, Mengkuang Titi dan Jalan Baru, susulan hujan lebat yang bermula sekitar 4.30 petang.
Menurut kenyataan itu, beberapa kediaman turut dinaiki air, manakala masalah perparitan dilaporkan di sekitar Seberang Jaya, namun keadaan masih terkawal.
“Pada 7.30 malam, pihak kami menerima maklumat mengenai peningkatan paras air di kawasan Mengkuang Titi dan agensi berkaitan terus menjalankan pemantauan serta berhubung dengan komuniti setempat.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berada dalam keadaan siap siaga sekiranya pemindahan penduduk diperlukan,” menurut kenyataan sekretariat itu malam ini.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan setakat 8 malam ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, manakala pemantauan berkala diteruskan di kawasan berisiko banjir sekiranya hujan lebat berpanjangan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata dua kejadian pokok tumbang dilaporkan di Perai dan Mengkuang Titi petang tadi, namun tiada mangsa terlibat.
Beliau berkata dalam kejadian berhampiran Desa Sutera Square, Perai, sebatang pokok tumbang menghempap sebuah teksi jenis Proton Saga yang diparkir di kawasan berkenaan serta merosakkan sebahagian kecil struktur bumbung kedai berhampiran.
“Kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.01 petang, sebelum menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dibantu balai Bandar Perda ke lokasi kejadian.
“Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang dijalankan di lokasi, dibantu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebelum operasi ditamatkan pada 7.57 malam,” katanya.
Dalam kejadian berasingan di Mengkuang Titi, Kubang Semang John berkata sebatang pokok tumbang menghempap sebuah Perodua Bezza serta sebahagian kecil struktur rumah.
Beliau berkata enam anggota dari Balai Bomba Penyelamat Penanti digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 6.01 petang bagi menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang.
John berkata lokasi kejadian kemudian diserahkan kepada pemilik rumah selepas dipastikan tiada bahaya lain, sebelum operasi ditamatkan pada 6.48 petang.
-- BERNAMA