Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz
MELAKA, 7 Nov (Bernama) -- Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang sarat dengan ceramah politik dan kibaran bendera parti, suasana di pusat bandar raya bersejarah ini reda seketika apabila disinari kemeriahan sambutan Pesta Cahaya, malam ini.
Tinjauan Bernama di pekarangan Stadthuys dan Jonker Walk, di sini, mendapati penganjuran Program Melaka Bila Larut Malam - Edisi November: Deepavali 2026, menyemarakkan sambutan perayaan itu yang terus mekar tanpa disisihkan oleh kehangatan politik semasa.
Pentas utama dihidupkan dengan persembahan silang budaya, apabila dendangan lagu rancak dan irama klasik dipersembahkan oleh artis berbilang kaum, diserikan lagi dengan kelincahan penari mengenakan sari dan kurta berwarna-warni, termasuk persembahan memukau daripada Badan Warisan Seni Melaka.
Kemeriahan Pesta Cahaya turut melimpah ke kawasan tumpuan Little India Melaka, yang terus dibanjiri orang ramai untuk membeli-belah kelengkapan saat akhir termasuk pakaian baharu, hiasan rumah serta aneka manisan dan kuih tradisi seperti muruku dan ladu.
Lorong perniagaan di sini seumpama mural hidup dengan deretan kedai mempamerkan busana berwarna-warni serta gantungan kalungan bunga segar, manakala reruai lukisan inai dipenuhi pengunjung wanita, bagi mencantikkan jari-jemari dengan corak flora tradisional sebagai pelengkap gaya pagi Deepavali.
Masyarakat tempatan berbilang kaum serta pelancong asing turut mengambil peluang menyelami tradisi berkenaan dengan mengenakan pakaian tradisional dan menikmati juadah jalanan popular seperti pani puri dan samosa di gerai-gerai yang beroperasi hingga lewat malam.
Kemeriahan malam ini membuktikan musim dan perbezaan politik tidak wajar dijadikan pemisah, sebaliknya kepelbagaian budaya dan jalinan persaudaraan rakyat Melaka kekal menjadi teras perpaduan yang utuh merentasi apa jua gelanggang persaingan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026.
-- BERNAMA