Am 06/11/2026 11:36 AM

Lelaki Maut Ditetak: Polis Tahan Tiga Lagi Suspek

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Maut Ditetak: Polis Tahan Tiga Lagi Suspek
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian

IPOH, 6 Nov (Bernama) -- Polis menahan tiga lagi suspek bagi membantu siasatan kes seorang lelaki maut ditetak dengan parang di hadapan sebuah kedai di Taman Banjar Jaya, Teluk Intan pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata tiga suspek terbabit berusia lingkungan 30-an hingga 40-an.

“Dua daripadanya lelaki warga asing ditahan pada awal pagi 4 Nov dan direman hingga 11 Nov. 

“Seorang lagi lelaki tempatan ditahan semalam dan permohonan reman dibuat pada pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 4 Nov, Chua mengesahkan mangsa yang berusia 48 tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan selepas diserang tiga lelaki yang bersenjatakan parang.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun yang direman hingga 11 Nov bagi membantu siasatan. 

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-- BERNAMA