Am 06/11/2026 01:34 PM

Lebih 80 Peratus Pemandu Teksi, Kereta Sewa Dijangka Terima RM1,000 Sebelum Deepavali - APAD

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 80 Peratus Pemandu Teksi, Kereta Sewa Dijangka Terima RM1,000 Sebelum Deepavali - APAD
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Lebih 80 peratus pemandu teksi dan kereta sewa yang layak akan menerima Bantuan Khas Kewangan RM1,000 sebelum sambutan Deepavali, Ahad ini.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembayaran bantuan itu sedang dilaksanakan secara berperingkat menerusi beberapa kaedah bagi memastikan penyalurannya berjalan lancar dan teratur.

“Berdasarkan rekod kad pemandu yang masih aktif hingga 30 Sept, sebanyak 15,062 pemandu teksi dan kereta sewa telah dikenal pasti berdaftar bagi tujuan penyaluran bantuan ini.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,619 pemandu telah menerima bantuan menerusi baucar tunai Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula dari 14 Okt hingga 2 Nov,” menurut kenyataan itu. 

APAD memaklumkan pembayaran berkenaan melibatkan pemandu yang diundang menghadiri majlis penyerahan bantuan di Putrajaya, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah.

Sementara itu, pembayaran kepada 12,033 pemandu dilaksanakan mulai 4 Nov menerusi pindahan terus ke akaun bank yang didaftarkan menggunakan akaun Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta kaedah pembayaran tunai di kaunter.

Menurut APAD, pemandu boleh menyemak status pembayaran melalui akaun bank masing-masing atau Portal Bantuan Khas Kewangan menerusi bantuanpemandu.mot.gov.my mulai tarikh berkenaan.

Bagi pemandu yang membaharui kad pemandu selepas 30 Sept hingga 25 Okt lepas, proses pengemaskinian dan pengesahan data sedang dilaksanakan dengan pembayaran dijangka bermula pada 11 Nov menerusi pindahan terus ke akaun bank atau pembayaran tunai di kaunter.

“Pemandu juga boleh menyemak status pembayaran di portal yang disediakan pada hari tersebut. APAD akan terus menyelaras pelaksanaan pembayaran bersama-sama pihak berkaitan bagi memastikan bantuan ini dapat disalurkan kepada semua penerima yang layak dengan teratur dan lancar,” menurut kenyataan itu. 

Dalam perkembangan berkaitan, APAD memaklumkan bantuan RM1,000 kepada kira-kira 7,228 pemandu bas sekolah dijangka disalurkan dalam masa terdekat menerusi pindahan terus ke akaun bank masing-masing.

Pembayaran itu menyusul selepas Portal Bantuan Khas Kewangan ditutup pada 30 Okt bagi tujuan semakan dan pengesahan data, manakala pemandu atau syarikat boleh menyemak status kelayakan pemandu yang didaftarkan mulai minggu kedua November.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menghargai sumbangan golongan pemandu pengangkutan awam darat serta membantu meringankan beban kewangan mereka, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA