KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah tahniah kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersempena dengan Hari Keputeraan baginda ke-70 hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid turut mendoakan agar baginda sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan, selain Perak terus menikmati keamanan serta kemakmuran di bawah pemerintahan baginda.
“Patik serta sekalian rakyat merafak sembah dan mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dikurniakan keafiatan, usia yang diberkati serta terus berada dalam limpahan rahmat dan inayah Allah SWT.
“Patik turut mendoakan semoga di bawah naungan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Negeri Perak Darul Ridzuan terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh rakyat,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil turut merafak sembah tahniah kepada Sultan Nazrin menerusi hantaran di Facebook.
“Dirgahayu Tuanku. Semoga dirahmati dan diberkati Allah,” menurut ucapan pada poster yang dikongsikan beliau.
Sultan Nazrin dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 pada 29 Mei 2014, menggantikan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
-- BERNAMA