KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Lebih 6,000 pembayar cukai tampil membuat pembetulan rekod transaksi menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois yang memberi kelonggaran kepada peniaga untuk mengemas kini maklumat transaksi tanpa dikenakan penalti atau tindakan semakan pematuhan.
Pengarah Bahagian e-Invois Sektor Operasi Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) Dr Rasyidah Che Rosli berkata program bermula pada 7 Julai lepas itu dibuka sehingga 31 Dis 2027 bagi memberi peluang kepada pembayar cukai membetulkan sebarang kesilapan rekod sebelum pelaksanaan penuh fasa akhir e-Invois.
Beliau berkata pembetulan berkenaan perlu dibuat mengikut garis panduan ditetapkan menggunakan format versi 1.2 atau 1.3 bagi membezakan rekod yang dibetulkan daripada transaksi baharu.
“Melalui PKPS, kita memberi peluang kepada peniaga untuk menyemak dan memperkemas rekod transaksi e-Invois terdahulu yang mungkin mempunyai kesilapan ketika peringkat awal pelaksanaan.
“Setakat ini, kira-kira 6,000 pembayar cukai telah tampil membuat pembetulan tapi tidak bermaksud semua transaksi mereka salah, sebaliknya mungkin hanya beberapa transaksi yang perlu dikemas kini,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara “e-Invois: Memacu Digitalisasi, Memperkukuh Pematuhan Cukai” di Bernama TV semalam.
Beliau berkata pembayar cukai tidak perlu bimbang dikenakan tindakan sekiranya pembetulan dibuat secara sukarela dalam tempoh ditetapkan dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Jika pembetulan dibuat dalam tempoh diberikan, tiada penalti atau tindakan semakan pematuhan dikenakan. Kita mahu menggalakkan peniaga tampil secara sukarela tanpa rasa bimbang,” katanya.
Rasyidah berkata PKPS e-Invois merangkumi tiga kategori pembayar cukai, iaitu mereka yang mempunyai transaksi tercicir akibat kekangan pemahaman atau sistem pada peringkat awal pelaksanaan, mereka yang ingin membetulkan kesilapan maklumat e-Invois sedia ada serta peniaga yang diwajibkan melaksanakan e-Invois tetapi belum pernah mengeluarkannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Rasyidah berkata HASiL menerima sebanyak 2.16 bilion e-Invois secara masa nyata melibatkan lebih 270,000 pembayar cukai sejak sistem itu diperkenalkan pada 1 Ogos 2024.
Beliau berkata HASiL turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin untuk mengenal pasti profil, corak transaksi serta risiko ketidakpatuhan cukai dengan lebih berkesan.
Rasyidah berkata analisis data berkenaan turut disokong pendekatan peringatan mesra bagi menggalakkan pembayar cukai memenuhi tanggungjawab percukaian secara sukarela.
“Menerusi pendekatan itu, lebih 97,000 pembayar cukai telah tampil mengemukakan borang nyata secara sukarela, melibatkan jumlah cukai sebanyak RM1.6 bilion,” katanya.
Beliau berkata HASiL sentiasa memberi keutamaan untuk memberi penerangan kepada pembayar cukai menerusi khidmat nasihat serta sesi libat urus yang dilaksanakan secara berterusan bagi membantu kelancaran pelaksanaan e-Invois.
-- BERNAMA