KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Maxis Berhad (Maxis) menyalurkan sumbangan kepada lebih 400 individu berpendapatan rendah di Johor bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali yang akan disambut pada Ahad ini.
Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif melalui dua program kemasyarakatan itu, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat telekomunikasi berkenaan dalam membantu golongan yang memerlukan.
Antara inisiatif utama ialah program amal Deepavali yang dianjurkan di Muar baru-baru ini dengan kerjasama Majlis Belia India Malaysia (MIYC) cawangan kawasan itu yang memberikan manfaat kepada lebih 200 penduduk setempat.
“Menerusi program yang diadakan di Kompleks MSN Pagoh, Muar, Maxis telah menyumbangkan bahan makanan asas seperti minyak masak, beras, tepung dan gula kepada 60 keluarga berpendapatan rendah bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Deepavali.
“Selain itu, mereka turut diberikan pek sumbangan yang mengandungi barangan dan juadah perayaan seperti muruku, teh, rempah-ratus dan bihun, selain berpeluang menikmati jamuan makan tengah hari,” menurut kenyataan itu.
Maxis turut menyumbang kepada program khidmat masyarakat di Kulai yang diterajui oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dengan kerjasama Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat India.
Di kawasan itu juga, Maxis bersama-sama penaja korporat lain menyumbangkan pek barangan kering dan keperluan isi rumah seperti tepung, serbuk kari, sabun dan syampu kepada 220 individu daripada golongan yang memerlukan.
“Maxis pada masa sama menyokong pembangunan belia tempatan menerusi inisiatif keterangkuman digital dengan menaja latihan asas membaiki komputer riba dan telefon bimbit bagi tempoh tiga bulan kepada peserta terpilih.
“Program ini merangkumi kemahiran praktikal membuka, memasang dan membaiki peranti yang membantu mempersiapkan peserta memasuki alam pekerjaan menerusi pengetahuan teknikal yang berguna pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata Maxis berbesar hati dapat membantu mereka yang memerlukan serta mewujudkan peluang yang mampu membawa perubahan bermakna bersempena dengan perayaan pesta cahaya itu.
“Walaupun bantuan itu meringankan beban dalam jangka pendek, kami percaya pemerkasaan sebenar bermula dengan melengkapkan golongan belia dengan kemahiran praktikal untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Inilah yang mencerminkan janji jenama kami, kerana di Maxis, ‘Esok Bermula Hari Ini’,” katanya.
-- BERNAMA