Am 04/11/2026 04:09 PM

Lebih Dua Tan Bahan al-Quran Dimurnikan Di Perairan Johor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih Dua Tan Bahan al-Quran Dimurnikan Di Perairan Johor
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ismainur Hadi Amat Bakeron (kiri), Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Nooh Gadut (tiga, kiri), Pengarah Imigresen Negeri Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus (tiga, kanan) dan Pengarah Bahagian Penguatkusaan dan Kawalan (PK) Kementerian Dalam Negeri Negeri Johor Mohd Nashuddin Daud (dua, kiri) melihat al-Quran termasuk naskhah yang usang, rosak dan tidak mendapat perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN), dimurnikan (dilupuskan) menerusi program pemurnian al-Quran di perairan Johor hari ini.

ISKANDAR PUTERI, 4 Nov (Bernama) -- Lebih dua tan bahan al-Quran termasuk naskhah yang usang, rosak dan tidak mendapat perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN), dimurnikan (dilupuskan) menerusi program pemurnian al-Quran di perairan Johor hari ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata program anjuran KDN dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dalam memastikan pengurusan dan pelupusan bahan al-Quran dilaksanakan mengikut kaedah yang ditetapkan.

“Bahan al-Quran seberat lebih dua tan itu dikumpulkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

“Walaupun istilah sebenarnya ialah pelupusan, kita menggunakan istilah pemurnian al-Quran bagi mengangkat martabat kitab suci itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir bekas Mufti Johor Datuk Dr Nooh Gadut dan Pengarah Imigresen Negeri Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.

Mengulas proses pemurnian, beliau berkata bahan al-Quran yang diserahkan kepada KDN akan dihantar ke sebuah syarikat pelupusan swasta untuk dibakar dalam kebuk relau khas sepanjang malam, sehingga menjadi abu.

 Ismainur Hadi berkata abu berkenaan kemudian disejukkan selama kira-kira dua hari, sehingga membentuk bongkah yang kukuh sebelum dibawa ke laut untuk dilarutkan.

“Proses penyejukan itu penting, bagi memastikan abu membentuk bongkah yang kukuh dan tidak mudah terlerai sebelum menjalani proses pemurnian.

“Pemurnian bukan sahaja boleh dilakukan di laut, malah di sungai yang mempunyai arus deras, asalkan bahan berkenaan dapat larut dan dihanyutkan,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan bahan al-Quran yang dimurnikan bukan daripada hasil rampasan, sebaliknya diperoleh menerusi program “Jom Exchange Al-Quran”, yang membolehkan orang ramai menukar naskhah lama, rosak atau lusuh dengan naskhah baharu yang diperakui KDN.

Program pemurnian itu dilaksanakan secara berperingkat mengikut negeri, dengan lebih tiga tan bahan al-Quran turut dimurnikan di Tawau, Sabah minggu lepas menerusi kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

-- BERNAMA