JOHOR BAHRU, 3 Nov (Bernama) -- Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) perlu mempergiat usaha membantu syarikat bumiputera di Johor meningkatkan keupayaan perniagaan, khususnya dalam merebut peluang pertumbuhan ekonomi susulan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sokongan itu bukan aspek pembiayaan semata-mata, malah perlu merangkumi bimbingan serta pembukaan akses pasaran kepada syarikat bumiputera untuk mengembangkan perniagaan sehingga berupaya menembusi pasaran saham.
Beliau berkata inisiatif seperti queen bee yang bertujuan menarik pelaburan strategik perlu disusuli usaha memastikan usahawan tempatan termasuk bumiputera memainkan peranan dalam rantaian bekalan dan perkhidmatan.
"Potensi di Johor ini baik dan luas, dan kita meletakkan harapan pada TERAJU untuk menggiatkan lagi usaha sokongan terhadap syarikat bumiputera di Johor.
"Ini tidak hanya kepada soal pendanaan, tetapi juga bimbingan dan membuka jalan kepada mereka menskalakan potensi perniagaan dengan sasaran ke pasaran saham terbuka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis TERAJU Aspirasi Business Symposium 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi.
Mengenai JS-SEZ, Akmal Nasrullah berkata mesyuarat Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura yang berlangsung di Singapura semalam membincangkan usaha kedua-dua kerajaan memperkukuh kerjasama dalam membangunkan potensi zon ekonomi khas itu.
Beliau yang mempengerusikan bersama mesyuarat berkenaan dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura Chee Hong Tat berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk terus mengetengahkan potensi strategik JS-SEZ menerusi kerjasama dua hala yang lebih erat serta perancangan bagi tahun depan.
"Pelan induk JS-SEZ dijadual dilancarkan pada pemukiman pemimpin, manakala kerajaan Malaysia turut mengetengahkan beberapa perkara berkaitan zon ekonomi khas itu menerusi Belanjawan 2025.
"Antara potensi pelaburan diketengahkan ialah pembangunan kawasan perindustrian Nexus Sedenak yang berpotensi menarik pelaburan bernilai RM12 bilion serta mewujudkan peluang pekerjaan," katanya.
Akmal Nasrullah berkata pertumbuhan ekonomi Johor turut menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat lapan peratus tahun lepas berbanding sekitar empat hingga 4.7 peratus sebelum ini, sekali gus mengatasi purata pertumbuhan ekonomi nasional.
Sementara itu, beliau berkata menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35), kerajaan mahu lebih ramai usahawan bumiputera di Johor berkembang daripada perusahaan kecil kepada syarikat bersaiz sederhana sebelum menjadi peneraju dalam bidang masing-masing.
-- BERNAMA