WASHINGTON, 2 Nov (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Seramai 201 orang cedera akibat tembakan di seluruh Amerika Syarikat (AS) sepanjang hujung minggu Halloween, manakala sekurang-kurangnya 76 maut, menurut data penganalisis.
Pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang tempatan turut memaklumkan kepada RIA Novosti bahawa beberapa pesta sempena sambutan itu berakhir dengan ramai mangsa dimasukkan ke hospital.
Pada 2026, Halloween yang disambut pada 31 Okt jatuh pada Sabtu, sesuatu yang jarang berlaku. Kali terakhir tarikh itu jatuh pada Sabtu ialah pada 2020 dan kejadian sama hanya akan berulang pada 2037.
Perayaan itu disambut secara meluas di AS dengan perarakan di seluruh bandar serta acara besar-besaran yang menampilkan peserta berpakaian kostum.
Menurut penganalisis dan laporan media, beberapa insiden tembakan bermula pada pagi Jumaat di Tennessee apabila seorang remaja membawa sepucuk pistol ke sebuah sekolah menengah.
Tiada kematian dilaporkan dalam kejadian itu dan remaja berkenaan kini berdepan pertuduhan memiliki senjata secara haram.
Di sebuah kawasan kejiranan di selatan Chicago, seorang lelaki berusia 35 tahun ditembak mati ketika berlaku pertengkaran. Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan sebuah rumah persendirian dihiasi dengan dekorasi Halloween.
Di sebuah pekan kecil di Missouri, pertikaian ketika pesta di sebuah rumah bertukar menjadi insiden tembakan apabila seorang individu berusia 22 tahun menembak dan mencederakan seorang remaja berusia 18 tahun.
Beberapa insiden lain turut membabitkan penggunaan senjata api dalam kejadian keganasan rumah tangga.
Jabatan Polis Fairfield di California memaklumkan kepada RIA Novosti bahawa satu insiden tembakan berlaku di sebuah pusat beli-belah berhampiran kedai yang menjual kostum Halloween.
Enam individu berusia antara 16 hingga 43 tahun cedera, manakala seorang wanita hamil berusia 31 tahun terbunuh dalam kejadian itu, menurut pihak berkuasa.
Sementara itu, Pejabat Syerif Eureka di Montana memaklumkan bahawa seorang timbalan syerif terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan pada petang Jumaat.
Anggota penguat kuasa bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan sebelum seorang penyerang melepaskan tembakan. Seorang lagi anggota turut cedera.
Di Alabama, dua individu maut dalam kejadian tembakan di sebuah kompleks pangsapuri.
Pada pagi Sabtu, empat individu dimasukkan ke hospital di Kansas, menurut Jabatan Polis Wichita. Seorang daripada mangsa terkena peluru sesat pada bahagian muka.
Pada malam Sabtu hingga awal pagi Ahad, satu insiden tembakan berlaku berhampiran kampus Universiti Delaware, menyebabkan enam individu cedera.
Di Dallas, Texas, empat individu maut manakala 15 lagi cedera dalam tiga insiden tembakan berasingan yang tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, menurut polis.
Di sebuah lagi bandar di Texas, tujuh individu dimasukkan ke hospital akibat kecederaan tembakan ketika menghadiri majlis hari jadi.
Di Florida, seorang individu berusia 20 tahun maut manakala sembilan lagi, termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, cedera dalam kejadian tembakan ketika pesta, menurut polis Jacksonville.
Di Illinois pula, seorang individu berusia 19 tahun terbunuh manakala lapan lagi cedera.
Secara keseluruhan, menurut penganalisis, sebanyak 201 individu cedera dan 76 maut dalam insiden berkaitan senjata api di seluruh AS sejak Jumaat.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI