SIBU, 2 Nov (Bernama) -- Pergerakan kayu balak di Sarawak kini boleh dipantau dan dijejaki secara masa nyata menerusi pelaksanaan sistem Electronic Removal Pass (ePASS) bagi memperkukuh penguatkuasaan serta pematuhan terhadap keperluan pengesahan kesahihan kayu di pasaran antarabangsa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata sistem itu dilaksanakan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sejak September lepas bagi menggantikan penggunaan pas pemindahan secara konvensional.
Beliau berkata pelaksanaan ePASS bukan sahaja mempercepat proses kerja dan meningkatkan kecekapan pelaporan, malah memperkukuh akauntabiliti menerusi rekod transaksi yang lebih teratur.
“Sistem ini turut menyokong penguatkuasaan lebih berkesan serta membantu memperkukuh pematuhan terhadap keperluan pengesahan kesahihan kayu dan peraturan antarabangsa termasuk Timber Legality Assurance System (TLAS) dan European Union Deforestation Regulation (EUDR),” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Integriti JHS 2026 di sini hari ini.
Len Talif berkata integriti serta tadbir urus yang baik menjadi benteng utama Sarawak dalam memastikan usaha pemuliharaan hutan serta peralihan ke arah ekonomi hijau dilaksanakan secara telus dan memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat serta kelestarian bumi negeri itu.
“Bagi saya, integriti diibaratkan seperti sebatang pokok yang kukuh. Nilai itu mesti dipupuk dari awal melalui pendidikan serta penerapan nilai murni dan dipelihara sepanjang kehidupan dan kerjaya kita menerusi tadbir urus telus serta berintegriti tinggi,” katanya.
-- BERNAMA