Am 02/11/2026 06:12 PM

MQA Guna AI Perkasa Dialog Strategik Akademia-Industri

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MQA Guna AI Perkasa Dialog Strategik Akademia-Industri
Kredit foto: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkenalkan pendekatan  menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengumpul dan menganalisis pandangan wakil akademia serta industri secara langsung dalam usaha memperkukuh kerjasama antara kedua-dua sektor.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata menerusi pendekatan itu, peserta daripada institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri boleh mengemukakan pandangan serta cadangan menggunakan telefon pintar masing-masing, sebelum input berkenaan dianalisis oleh AI untuk mengenal pasti isu strategik yang menjadi keutamaan bersama.

“Ratusan input peserta dianalisis dan disintesiskan kepada lima isu utama yang dipaparkan secara langsung pada skrin utama untuk dibincangkan bersama.

“Proses ini membolehkan perbincangan berlangsung secara lebih dinamik, inklusif dan berasaskan pandangan kolektif peserta, sekali gus memastikan suara wakil akademia dan industri diberikan ruang dalam pembentukan cadangan strategik,” katanya selepas program  MQA Industry Connect 2026, semalam. 

Program yang menghimpunkan 200 wakil IPT dan industri itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Penganjuran MQA Industry Connect 2026 itu selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menekankan kepentingan memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang responsif terhadap perubahan masa hadapan serta hubungan strategik antara IPT dengan industri.

Mohammad Shatar berkata penggunaan teknologi berkenaan mencerminkan komitmen MQA untuk mentransformasikan dialog akademia-industri daripada perbincangan konvensional kepada platform kolaboratif yang lebih interaktif, responsif dan berasaskan data.

"Teknologi AI bukan menggantikan pertimbangan manusia, tetapi memperkukuh keupayaan kita untuk memahami pandangan yang pelbagai dan menterjemahkannya kepada tindakan yang bermakna," katanya.

-- BERNAMA