Am 02/11/2026 04:42 PM

HPPK 2026 Catat Potensi Pembiayaan RM9.5 Juta, Hampir Dua Kali Ganda Melebihi Sasaran

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
HPPK 2026 Catat Potensi Pembiayaan RM9.5 Juta, Hampir Dua Kali Ganda Melebihi Sasaran
Steven Sim Chee Keong

PUTRAJAYA, 2 Nov (Bernama) -- Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026 (HPPK 2026) mencatatkan potensi pembiayaan sebanyak RM9.5 juta, hampir dua kali ganda daripada sasaran awal RM5 juta, membuka peluang kepada penjaja dan peniaga kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata karnival tiga hari yang berakhir semalam, turut merekodkan padanan perniagaan bernilai RM1.5 juta, mencerminkan potensi besar sektor penjaja dan peniaga kecil dalam merancakkan ekonomi negara.

Beliau berkata HPPK 2026 di Dataran MPKj, Stadium Kajang, Selangor turut mencatatkan jualan RM715,000 yang mengatasi sasaran RM500,000 sebanyak 43 peratus.

“Karnival ini berjaya menarik 58,967 pengunjung, sekali gus melepasi sasaran awal 50,000 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sim berkata pencapaian itu membuktikan HPPK bukan sekadar medan jualan, sebaliknya platform strategik yang menghubungkan penjaja dan peniaga kecil dengan institusi pembiayaan, rakan perniagaan serta peluang pasaran baharu.

Karnival anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan tema “Penjaja dan Peniaga Kecil Bestari: Pemangkin Ekonomi MADANI” itu menghimpunkan 300 penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara.

Selain ruang jualan, peserta turut mendapat akses kepada khidmat nasihat pembiayaan, padanan perniagaan, latihan keusahawanan serta pendedahan kepada penggunaan teknologi dan pemasaran digital bagi meningkatkan daya saing perniagaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis penutupan karnival semalam dan turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Penjaja dan Peniaga Kecil (AKPPK) 2026 kepada 10 penerima.

Anugerah itu sebagai pengiktirafan kepada usahawan yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai kategori.

Sebanyak 43 pencalonan diterima melibatkan usahawan di bawah agensi KUSKOP, iaitu TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara.

-- BERNAMA