Am 02/11/2026 04:40 PM

Kes Teoh Beng Hock: Kerajaan Bangkitkan Bantahan Had Masa Terhadap Semakan Kehakiman Keluarga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kes Teoh Beng Hock: Kerajaan Bangkitkan Bantahan Had Masa Terhadap Semakan Kehakiman Keluarga

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bahawa keluarga Teoh Beng Hock telah menyedari sejak lebih tujuh tahun lepas bahawa kematian mendiang, yang ketika itu merupakan setiausaha politik pada tahun 2009, tidak pernah disiasat sebagai kes bunuh.

Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali membangkitkan perkara itu, dalam bantahan awal kerajaan terhadap permohonan semakan kehakiman baharu yang difailkan keluarga Beng Hock pada 17 April tahun ini.

Mohammad Sallehuddin berkata siasatan berhubung kematian Beng Hock pada tahun 2009, sebenarnya telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan, atas kesalahan kurungan salah pada tahun 2019.

Beliau mengambil maklum bahawa walaupun keluarga itu sebelum ini pernah mengadu mengenai kelambatan siasatan dan mempersoalkan sama ada perkara itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), mereka telah melengahkan tindakan untuk mengambil tindakan perundangan.

“Walaupun mengetahui perkara tersebut, mereka hanya memfailkan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman sekarang, yang mana telah melebihi tempoh akhir statutori iaitu tiga bulan.

“Menurut Aturan 53 Kaedah 3(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, tempoh tiga bulan untuk keluarga tersebut memohon kebenaran bagi semakan kehakiman bermula pada 28 Jun 2019, iaitu tarikh surat daripada peguam terdahulu pemohon yang mempersoalkan klasifikasi siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan telah tamat pada 29 Sept 2019,” katanya.

Sebagai maklum balas, peguam Lim Wei Jiet yang mewakili keluarga Beng Hock membalas bahawa pada masa lepas, mereka pernah menulis surat kepada pihak polis dan Peguam Negara.

Namun begitu, mereka tidak pernah menerima sebarang pengesahan mengenai sama ada siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 untuk kes bunuh atau Seksyen 304 bagi mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang.

“Tetapi kini mereka datang ke mahkamah hari ini dan mendakwa kami telah kehabisan masa. Jika mahkamah bersetuju dengan mereka, kami menggesa mahkamah untuk membenarkan pelanjutan masa. Kes ini telah menarik minat awam yang besar selama bertahun-tahun, namun pihak keluarga dibiarkan sama sekali tanpa sebarang maklumat mengenai apa yang berlaku kepadanya,” kata Lim.

Ibu bapa Beng Hock turut hadir di mahkamah hari ini.

Hakim Norliza Othman kemudiannya menetapkan 17 Nov untuk menyampaikan keputusan sama ada akan membenarkan permohonan keluarga itu bagi pelanjutan masa.

Pada 17 April tahun ini, abang mendiang Teoh Meng Kee dan ibu bapanya Teoh Leong Hwee dan Teng Shuw Hoi, memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman. Mereka menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden pertama hingga kelima.

Pemohon memohon deklarasi bahawa responden-responden mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang untuk memulakan siasatan ke atas kematian Beng Hock pada 16 Julai 2009, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) atau mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan menuntut perintah mandamus untuk memaksa responden melengkapkan siasatan dalam tempoh 120 hari dari tarikh perintah mahkamah.

Pada 21 Nov 2024, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian Beng Hock dalam masa enam bulan, selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang.

Walau bagaimanapun, pada 20 Mei 2025, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menulis surat kepada bekas peguam keluarga itu, yang menyatakan bahawa siasatan telah dijalankan di bawah kesalahan kurungan salah mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk mengambil langkah Tiada Tindakan Lanjut (NFA) berhubung perkara tersebut.

Beng Hock, yang ketika itu merupakan setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemukan maut di bangunan Plaza Masalam di Shah Alam selepas selesai memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14.

Pada 5 Jan 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memberikan keputusan terbuka, memutuskan bahawa kematian Beng Hock pada 2009 bukanlah akibat membunuh diri mahupun dibunuh dan mendapati tiada pihak ketiga yang terlibat dalam kematiannya.

Susulan itu, pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya ialah akibat membunuh diri.

Pada 5 Sept 2014, Mahkamah Rayuan menterbalikkan keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya berpunca daripada tindakan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh seorang atau lebih individu yang tidak dikenali.

-- BERNAMA