Am 02/11/2026 12:28 AM

ACT 2026: Speedy Tigers Masih Kempunan Tumbangkan India

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ACT 2026: Speedy Tigers Masih Kempunan Tumbangkan India
fb Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan gagal menyekat kehebatan juara bertahan India selepas tewas 2-4 kepada pasukan tuan rumah dalam aksi keempat Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Stadium Hoki Olimpian Surjit Singh, Punjab, hari ini.

Ketua pasukan India Harmanpreet Singh muncul wira kemenangan tuan rumah apabila meledak hatrik bagi memastikan rekod kemenangan bersih pasukannya kekal utuh dalam saingan berkenaan.

Pakar pukulan sudut penalti itu hanya memerlukan tiga minit untuk membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti sebelum Akhimullah Anuar Esook menyamakan kedudukan 1-1 buat Malaysia melalui situasi sama.

Harmanpreet sekali lagi membuktikan ketajamannya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-33 untuk meletakkan India kembali di hadapan sebelum Sukhjeet Singh menambah derita Speedy Tigers dengan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-43, juga hasil pukulan sudut penalti.

India yang terus memperhebat asakan akhirnya memperoleh gol keempat apabila Harmanpreet melengkapkan hatriknya menerusi pukulan strok penalti pada minit ke-58.

Bagaimanapun, skuad kendalian Brendan Carolan enggan mengalah apabila Shello Silverius merapatkan jurang menerusi jaringan padang pada penghujung perlawanan, namun usaha itu belum cukup untuk menghalang kemenangan India.

Kekalahan berkenaan menyaksikan Speedy Tigers terus kempunan menamatkan kemarau kemenangan ke atas India sejak kali terakhir menewaskan pasukan itu pada separuh akhir Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Meskipun tewas, Malaysia yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir kekal di kedudukan kedua carta liga sepusingan dengan sembilan mata, tiga mata di belakang India yang mengungguli saingan selepas mengumpul mata maksimum, iaitu 12 mata daripada empat perlawanan.

Jepun menghuni tangga ketiga dengan tujuh mata diikuti Korea Selatan di tempat keempat dengan enam mata, manakala China berada di kedudukan kelima dengan satu mata dan Bangladesh tercorot tanpa sebarang mata.

Hanya empat pasukan terbaik daripada enam pasukan yang bertanding akan mara ke separuh akhir.

Speedy Tigers sebelum ini memulakan kempen dengan menewaskan China 5-4, mengatasi Korea Selatan 3-1 dan membelasah Bangladesh 6-1 untuk mengesahkan kemaraan ke kelompok empat terbaik.

Malaysia dijadual menutup saingan liga sepusingan menentang Jepun esok dengan kemenangan mampu memperkukuh kedudukan pasukan negara menjelang aksi separuh akhir.

-- BERNAMA