KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Sabah FA berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Wanita Nasional (LWN) selepas menewaskan Selangor FC 1-0 dalam aksi final musim 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam ini.
Penyerang import dari Amerika Syarikat, Enzi Hekima Starks Broussard muncul wira Sabah apabila meledak gol kemenangan pada penghujung perlawanan sekali gus membantu pasukan itu merangkul gelaran ketiga LWN selepas turut muncul juara pada edisi 2023 dan 2025.
Sabah yang menguasai babak pertama hampir membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma Enzi Hekima pada minit ke-21, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Selangor Nurdiana Syafiqah Mohd Rostam.
Nurdiana Syafiqah sekali lagi bertindak cemerlang apabila menafikan percubaan jarak dekat pemain pertahanan Sabah, Juliana Barek pada minit ke-38 untuk memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Selangor meningkatkan tempo permainan dan hampir memecah kebuntuan menerusi pemain gantian Yeo Menji, pada minit ke-69, namun percubaannya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.
Ketika perlawanan semakin menghampiri masa tambahan, Enzi Hekima memastikan kemenangan Sabah apabila rembatan jarak jauhnya gagal ditangkap kemas Nurdiana Syafiqah pada minit ke-89, sekali gus mengesahkan kejuaraan buat skuad kendalian Bobby Gonzales.
-- BERNAMA