Am 02/11/2026 12:12 AM

PM Ucap Tahniah Kejayaan Anjur MotoGP, Angkat Nama Malaysia Di Pentas Antarabangsa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PM Ucap Tahniah Kejayaan Anjur MotoGP, Angkat Nama Malaysia Di Pentas Antarabangsa
fb Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga kerja, penganjur serta peminat sukan permotoran susulan kejayaan penganjuran Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 yang melabuhkan tirainya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar menyifatkan edisi kali ini berlangsung dengan penuh debaran dan kemeriahan luar biasa dalam menyaksikan persaingan sengit pelumba terbaik dunia, sekali gus melakar pelbagai memori menarik sepanjang temasya.

“Tahniah kepada semua pemenang dan pelumba yang mengambil bahagian. Terima kasih juga kepada seluruh petugas, penganjur, sukarelawan dan para peminat atas usaha serta sokongan dalam menjayakannya.

“Semoga kemeriahan dan semangat sukan permotoran seperti MotoGP ini terus memberikan inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk mengharumkan nama Malaysia! Jumpa lagi di Sepang,” kata beliau.

Selain itu, Perdana Menteri berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP Sports Entertainment Group Carmelo Ezpeleta bagi bertukar pandangan tentang perkembangan sukan berkenaan serta potensinya untuk terus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Kami turut berjalan di sekitar litar, menyapa beberapa pelumba serta petugas yang bertungkus lumus memastikan penganjuran MotoGP kali ini berjalan lancar dan meriah,” kata beliau.

Anwar berkata di sebalik kehangatan perlumbaan di Sepang, terdapat limpahan ekonomi lebih besar yang wajar terus dimanfaatkan, merangkumi lonjakan sektor pelancongan, pembukaan peluang perniagaan serta usaha merancakkan ekonomi setempat.

"Hal ini sekali gus membawa Malaysia lebih dekat kepada peminat sukan permotoran seluruh dunia," kata beliau.

-- BERNAMA