Am 02/11/2026 12:05 AM

Satu PPS Dibuka Di Beruas Tempatkan 17 Mangsa Ribut

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Satu PPS Dibuka Di Beruas Tempatkan 17 Mangsa Ribut
Foto: APM Perak

IPOH, 1 Nov (Bernama) -- Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di kawasan Beruas hari ini bagi menempatkan 17 mangsa yang terjejas akibat ribut semalam.

 Pegawai Daerah Manjung Shamsul Ridzuan Idris berkata PPS berkenaan dibuka pada 10 malam tadi.

“Terdapat mangsa-mangsa ribut yang berada di dewan (transit) masih belum sesuai untuk kembali ke rumah masing-masing,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa daripada enam keluarga itu berlindung di PPS Dewan Komuniti Taman Desa Beruas.

Kawasan terjejas ialah Pekan Beruas, Taman Beruas, Taman Desa, Perumahan Awam, Taman Seri Delima, Taman Limau Emas, Taman Anggerik, Kampung Kilang, Kampung Dendang dan Kampung Paya Lima.

"Bagaimanapun tiada jalan yang dinaiki air atau terputus hubungan. Cuaca kini dilaporkan cerah manakala paras sungai berada pada tahap baik," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA