KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Selangor Red Giants (SRG) meneruskan dominasi dalam saingan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia apabila muncul juara buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Team Rey 4-3 dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.
Pertembungan sengit yang berlarutan hingga permainan ketujuh itu menyaksikan SRG terpaksa mengerah segala kudrat sebelum berjaya menundukkan cabaran Team Rey untuk sekali lagi mempertahankan kejuaraan berprestij berkenaan.
Skuad kendalian Michael Angelo Bocado, yang lebih dikenali sebagai Arcadia, memulakan saingan dengan langkah kanan apabila memenangi permainan pertama, namun Team Rey segera bangkit untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi kemenangan dalam permainan kedua.
SRG kembali mendahului 2-1 selepas memenangi permainan ketiga, tetapi Team Rey enggan memberikan laluan mudah apabila sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 dalam permainan keempat.
Kedua-dua pasukan terus berbalas kemenangan dengan SRG kembali mendahului 3-2 selepas memenangi permainan kelima, sebelum Team Rey mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengikat kedudukan 3-3, sekali gus mengheret perlawanan ke permainan ketujuh bagi menentukan juara.
Bagaimanapun, pengalaman dan ketenangan SRG menjadi faktor pemisah apabila mereka menguasai permainan penentuan untuk melakar kemenangan 4-3, sekali gus memastikan trofi MPL Malaysia terus kekal dalam genggaman pasukan itu.
Arcadia menyifatkan pertembungan sengit berkenaan sebagai antara aksi paling menghiburkan buat pasukannya, selain memuji keupayaan Team Rey yang memberikan tentangan hebat sepanjang perlawanan.
“Saya sangat gembira kerana Team Rey benar-benar meningkatkan tahap permainan mereka. Kami menikmati keseluruhan perlawanan ini kerana mereka tidak pernah berhenti memberikan tentangan dan sentiasa bangkit dalam setiap permainan, sekali gus menjadikan pertembungan ini sangat menarik buat kami.
“Sudah agak lama kami tidak melalui perlawanan yang begitu sengit dan menyeronokkan seperti ini,” katanya selepas perlawanan.
Kedua-dua pasukan turut mengesahkan tempat ke Kejohanan Dunia M8 yang dijadual berlangsung di Istanbul, Turkiye tahun depan selepas berjaya mara ke pentas final MPL Malaysia musim ini.
-- BERNAMA