Am 01/11/2026 11:24 PM

Fahmi Turun Padang Bantu Percepat Urusan Kebajikan Pesakit Angin Ahmar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fahmi Turun Padang Bantu Percepat Urusan Kebajikan Pesakit Angin Ahmar
fb Erwin Khairul Ahmad

MELAKA, 1 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini turun padang bagi menyantuni dan membantu mempercepat urusan kebajikan seorang pesakit angin ahmar di Kampung Cheng, Paya Rumput, di sini menerusi inisiatif program Ziarah Kasih. 

Penerima sumbangan berkenaan, Nurfarawahida Zainal Abidin, 37, yang masih bujang dan tidak bekerja, diserang angin ahmar pada Februari tahun lepas dan sedang mendapat rawatan urutan saraf daripada pakar saraf di Melaka.

Anak kedua daripada empat beradik itu kini dijaga sepenuhnya oleh ibunya, Sarah Husin, 64, seorang suri rumah.

Fahmi berkata program santuni rakyat seperti itu penting bukan sahaja untuk memahami masalah kesihatan dan kebajikan yang dihadapi rakyat, malah membuka ruang kepada kepimpinan meneliti isu-isu pentadbiran yang lebih luas dan bersifat dasar.

"Program ini penting untuk kami mendekati, menyantuni dan cuba memahami isu-isu yang dihadapi oleh individu yang mungkin ada masalah kesihatan atau kebajikan. Kita boleh meluangkan masa untuk teliti bukan hanya masalah satu individu, tetapi isu yang lebih sistemik atau bersifat dasar.

"Sebagai contoh, rumah yang saya santuni sebelum ini, Puan Nurfarawahida, keluarga beliau memaklumkan ada membuat permohonan bantuan zakat, tetapi belum lagi diterima. Apabila kita teliti kes seperti ini, kita boleh cuba mempercepat berhubung dengan pihak berwajib untuk memahami masalah yang timbul, sekiranya ada isu pentadbiran," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Fahmi berkata penelitian terus terhadap kes-kes kebajikan pada peringkat akar umbi membolehkan sebarang kelewatan membabitkan penyaluran bantuan agensi berkaitan dikenal pasti serta diselaraskan segera dengan pihak berwajib.

Beliau berkata inisiatif turun padang menyantuni rakyat akan diteruskan bagi memastikan keluhan masyarakat dapat diteliti secara dekat dan golongan yang memerlukan sokongan tidak tercicir daripada perhatian kerajaan.

-- BERNAMA