GEORGE TOWN, 1 Nov (Bernama) -- Kegagalan mengekalkan ketenangan selepas mendahului serta kelekaan ketika diasak menjadi punca Penang FC tewas 1-2 kepada Melaka FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di sini hari ini.
Ketua jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata anak buahnya sepatutnya lebih tenang dan yakin mengawal permainan selepas mendahului pada separuh masa kedua, namun kelekaan membolehkan pelawat menyamakan kedudukan sebelum memperoleh gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada penghujung perlawanan.
“Apabila kami sudah mendahului, sepatutnya kami lebih tenang dan lebih yakin untuk mengawal keadaan, tetapi sedikit kelekaan membolehkan Melaka menjaringkan gol penyamaan.
“Ketika keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti, pemain saya seharusnya lebih matang dan tenang untuk mengawal situasi itu. Akhirnya sepakan penalti diberikan dan itu amat merugikan pasukan,” katanya selepas perlawanan.
Beliau berkata gol penyamaan itu meningkatkan semangat Melaka FC untuk terus mengasak, selain mengakui kegagalan menyudahkan beberapa peluang turut mengecewakan pasukannya.
Sementara itu, ketua jurulatih Melaka FC E. Elavarasan menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai bonus berharga selepas pasukannya tewas tiga kali kepada Penang FC sebelum ini.
Beliau berkata semangat juang pemain yang tidak mudah mengalah meskipun ketinggalan 0-1 menjadi kunci kejayaan meraih tiga mata di gelanggang lawan.
“Perkara paling penting bagi kami ialah tiga mata ini. Kami tahu Penang mempunyai kekuatan tersendiri, terutama di tempat sendiri, dan mereka sudah tiga kali menewaskan kami sebelum ini.
“Walaupun ketinggalan 0-1, pemain terus berjuang sehingga minit terakhir. Saya fikir kami layak mendapat penalti pada penghujung permainan dan memenangi perlawanan ini,” katanya.
-- BERNAMA