BACHOK, 1 Nov (Bernama) -- Dua kali menjalani pembedahan mata dan berdepan masalah pendengaran serta kemerosotan daya ingatan tidak sesekali mematahkan semangat seorang warga emas untuk merealisasikan impiannya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Abdul Ghani Muhamad, 81, memperoleh PhD dalam bidang Tasawuf dan Tarekat pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini selepas menamatkan pengajian selama empat tahun sejak 2022.
Bapa kepada sembilan anak serta datuk kepada 35 cucu itu berkata hasrat menyambung pengajian ke peringkat kedoktoran sudah lama disimpan, namun tanggungjawab sebagai guru dan ketua keluarga memaksanya menangguhkan impian itu.
Menurut Abdul Ghani, kejayaan itu akhirnya menjadi kenyataan selepas mendapat inspirasi daripada rakan-rakan yang berjaya memperoleh ijazah kedoktoran dan memegang jawatan tinggi.
“Saya agak cemburu melihat ramai kawan saya memiliki ijazah kedoktoran dan memegang jawatan tinggi, termasuk menjadi mufti serta menteri.
“Impian itu akhirnya dapat saya nikmati hari ini. Walaupun sudah lewat usia, saya berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Konvokesyen UMK ke-16 di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok di sini hari ini.
Beliau ketika mengulas cabaran sepanjang pengajian berkata selain masalah kesihatan, penguasaan teknologi semasa bagi menyiapkan kajian turut menjadi kekangan.
“Ada juga cabaran lain yang perlu saya tempuhi, iaitu saya perlu menguasai teknologi semasa bagi menyiapkan kajian. Dalam hal ini, saya banyak belajar daripada anak-anak dan cucu.
“Saya tidak pernah patah semangat, bahkan kalau diberi kesihatan dan rezeki, saya berhasrat memiliki satu lagi ijazah kedoktoran dalam bidang sama,” katanya.
Abdul Ghani ketika mengulas perancangan seterusnya berkata beliau akan meneruskan usaha dakwah menerusi kuliah agama selain khidmat penterjemahan dan penulisan buku melalui syarikat miliknya.
Setakat ini, sebanyak 39 buku berkaitan tasawuf telah diterjemahkannya ke dalam tulisan Jawi dan Rumi untuk rujukan umum.
“Bagi saya, menuntut ilmu tiada had umur, sebaliknya ia adalah proses pembelajaran sepanjang hayat dan semua orang mempunyai peluang itu,” katanya.
-- BERNAMA