Am 01/11/2026 09:09 PM

Resipi Warisan Keluarga Bawa Tuah Kepada Juara Lotus's Chef Challenge 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Resipi Warisan Keluarga Bawa Tuah Kepada Juara Lotus's Chef Challenge 2026
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lotus Malaysia Saksit Panurach (kanan) meyampaikan hadiah tempat pertama kepada Chef Noor Shobahiyah Abu Bakar bagi kategori Chef Profesional pada pertandingan masakan Lotus's Dari Dapur ke Pentas Chef Challenge 2026.

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Resipi nasi daging warisan keluarga dari Kedah dan mi segera masak lemak daging salai dengan sentuhan fusion membawa tuah kepada seorang wanita apabila dinobatkan sebagai juara bagi kategori Cef Profesional pada pertandingan Lotus's Chef Challenge 2026 hari ini.

Kemenangan itu turut memberi peluang kepada Noor Shobahiyah Abu Bakar, 31, untuk menguji kemahiran kulinarinya di pentas antarabangsa apabila bakal mewakili Malaysia pada pertandingan Thailand Ultimate Chef Challenge (TUCC) 2027 di Bangkok.

Meskipun ibu kepada tiga anak itu mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam bidang kulinari, beliau mengakui berasa gementar apabila memikirkan cabaran untuk bersaing dengan cef daripada pelbagai negara lain.

“Perasaan gementar itu memang ada sebab ini kali pertama saya akan bertanding di luar Malaysia. Selalunya, saya hanya bertanding dalam negara.

“Penyertaan di TUCC pasti akan memberikan pengalaman baharu. Menang atau kalah, pengalaman itu tidak mungkin boleh dibeli,” katanya kepada Bernama selepas pertandingan yang berlangsung di Lotus's Ampang di sini.

Noor Shobahiyah berkata peluang mewakili negara bukan sahaja menjadi pencapaian bermakna dalam kerjaya kulinarinya, malah ia memberi ruang untuk beliau memperkenalkan keunikan dan kepelbagaian masakan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

Sementara itu, Loi Kee Yeong, 20, yang menjadi juara bagi kategori Cef Muda pula melihat kemenangan itu sebagai batu loncatan untuk terus mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran dalam bidang kulinari yang diminatinya sejak di bangku sekolah rendah.

“Pengalaman dalam pertandingan sebegini pasti akan memperbaiki kemahiran saya untuk menghadapi cabaran Culinaire Malaysia yang akan berlangsung tahun depan,” katanya.

Kemenangan kedua-dua cef itu melabuhkan tirai pertandingan Lotus's Chef Challenge 2026 yang berlangsung selama dua hari, yang menghimpunkan bakat kulinari muda dan profesional dari seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Lotus's Malaysia Azliza Baizura Azmel berkata pertandingan yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan kulinari, malah membuka ruang kepada jaringan industri, potensi peluang kerjaya dan pentas yang lebih besar untuk bakat di Malaysia.

“Setiap peserta mempunyai perjalanan tersendiri yang wajar diraikan dan kami berharap pengalaman ini menjadi batu loncatan untuk merealisasikan cita-cita mereka,” katanya dalam kenyataan.

Bertemakan “Dari Dapur ke Pentas”, pertandingan anjuran bersama Lotus's Malaysia, Professional Culinaire Association (PCA) Malaysia dan TAEM Academy itu mendapat pengiktirafan World Association of Chefs' Societies (Worldchefs).

Sebanyak 87 peserta menyertai pertandingan yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Cef Muda dan Cef Profesional.

Kategori Cef Muda melibatkan peserta berusia 18 hingga 30 tahun yang berlangsung semalam manakala kategori Cef Profesional bagi peserta berusia 25 hingga 40 tahun diadakan hari ini.

Tiga pemenang terbaik kategori Cef Profesional dijadualkan mewakili Malaysia pada TUCC 2027 di Bangkok manakala tiga pemenang terbaik kategori Cef Muda akan meneruskan cabaran pada Culinaire Malaysia 2027.

Setiap juara membawa pulang baucar tunai Lotus's bernilai RM3,000 manakala naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000, selain lapan hadiah sagu hati bernilai RM300 diberikan bagi setiap kategori.

Antara panel juri pertandingan itu ialah Cef KK Yau, Cef Bob Adnin, Cef Gan Si Ni, Cef Arieff Khalid, Cef Zubir Zain dan Cef Ahmad Shafique.

-- BERNAMA