Am 01/11/2026 09:11 PM

Sarawak Energy Lancar "Seri Batang AI", Bot Elektrik Dengan Sokongan Solar Pertama

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sarawak Energy Lancar
fb Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING, 1 Nov (Bernama) -- Sarawak Energy mencapai satu lagi pencapaian penting dalam penggunaan teknologi bersih dengan penamaan rasmi bot elektrik binaan khas dan disokong oleh tenaga solar yang pertama, Seri Batang Ai, yang menyokong operasinya di Loji Hidroelektrik (HEP) Batang Ai.

Majlis penamaan oleh Perdana Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pangkalan Sapi, di sini hari ini itu berlangsung bersempena dengan Regata Sarawak 2026, menandakan satu lagi langkah progresif dalam perjalanan tenaga lestari negeri.

Bot sepanjang 10 meter yang dihasilkan oleh syarikat tempatan Global Fibreglass Industries itu menampilkan seni bina sistem pendorongan elektrik dan susun atur komponen yang direka sepenuhnya oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan Sarawak Energy.

“Bot elektrik (e-bot) ini dikuasakan oleh motor sangkut elektrik berkembar 40 kilowatt (kW) dan sistem penyimpanan tenaga bateri 92 kilowatt sejam (kWh), dilengkapi dengan panel solar bumbung 3.6 kilowatt puncak (kWp) dan keupayaan pengecasan grid, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 25 kilometer sejam dengan jarak operasi antara 40 hingga 50 kilometer.

“Kenderaan itu yang boleh menampung hingga 12 penumpang berdaftar, dibina khas untuk menyokong operasi di HEP Batang Ai, termasuk pemeriksaan keselamatan empangan, pemantauan alam sekitar dan pengangkutan petugas merentasi takungan empangan,” menurut kenyataan Sarawak Energy.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Datuk Ruslan Abdul Ghani berkata Seri Batang Ai dibangunkan berteraskan inisiatif e-Penambang organisasi itu sebelum ini, yang berkembang daripada bot konvensional yang diubah suai kepada bot kerja elektrik khas yang mengukuhkan keupayaan kejuruteraan tempatan.

“Seri Batang Ai menyediakan platform untuk kami terus membangunkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan, memperkukuh kepakaran kejuruteraan tempatan, dan meneroka aplikasi tenaga bersih dan teknologi marin yang lebih luas untuk meningkatkan kecekapan operasi,” katanya.

Berbanding kapal berkuasa bahan api fosil konvensional, pendorongan elektrik pada kapal ini tidak menghasilkan pelepasan ekzos secara langsung dan meminimumkan bunyi serta getaran.

Bot yang dipamerkan buat kali pertama pada sambutan ulang tahun ke-40 HEP Batang Ai pada 2025 itu secara rasmi menerima Lesen Bot dan Permit Pengangkutan Sungai pada 21 Okt lepas, menggariskan usaha berterusan Sarawak Energy ke arah penyelesaian operasi yang praktikal dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

-- BERNAMA