JOHOR BAHRU, 1 Nov (Bernama) -- Seorang remaja perempuan cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua sebuah rumah pangsa di Tampoi, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Azrol Anuar Nor berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa berusia 18 tahun itu kira-kira 12.20 tengah hari.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami serangan sawan ketika menjenguk ke bawah dari tembok tangga, sebelum terjatuh dari tingkat dua rumah pangsa berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata mangsa ditemukan terbaring di kaki lima rumah pangsa itu dalam keadaan sedar, namun mengalami kecederaan pada bahagian belakang kepala, leher, pergelangan tangan kiri serta kaki kanan.
Azrol Anuar berkata remaja terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan.
Beliau berkata empat saksi kejadian sudah dikenal pasti dan polis akan merakamkan percakapan mereka bagi melengkapkan siasatan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan menerusi talian 07-5563122," katanya.
-- BERNAMA