Am 01/11/2026 08:04 PM

Lim Mei Zhen Atasi Cabaran Hidup, Raih Anugerah Canselor Emas UTP

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lim Mei Zhen Atasi Cabaran Hidup, Raih Anugerah Canselor Emas UTP

SERI ISKANDAR, 1 Nov (Bernama) -- Kehilangan tempat bergantung selepas ibu meninggalkan keluarga ketika berusia 13 tahun dan kematian bapa akibat COVID-19 lima tahun kemudian tidak mematahkan semangat Lim Mei Zhen untuk mengubah kehidupannya.

Kejadian itu sebaliknya menjadi dorongan kepada graduan Universiti Teknologi Petronas (UTP) berusia 23 tahun itu sehingga berjaya meraih Anugerah Canselor Emas hari ini.

Anak ketiga daripada empat beradik dari Bahau, Negeri Sembilan itu berkata kehidupannya turut diuji sejak kecil apabila menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada leher ketika berusia 12 tahun, namun masih mengalami kesakitan selepas rawatan berkenaan.

Beliau berkata keluarganya pernah mendapatkan rawatan di beberapa hospital sehingga menelan belanja yang tinggi sebelum mengambil keputusan untuk tidak meneruskan rawatan kerana tidak mahu membebankan keluarga.

Kehidupan mereka semakin mencabar selepas bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia 18 tahun, menyebabkan keluarga kehilangan sumber pendapatan.

“Selepas bapa meninggal dunia, saya memang teringin untuk bekerja dan mendapatkan wang bagi membantu keluarga tetapi saya tahu pendidikan lebih penting untuk masa depan saya.

“Abang menjadi inspirasi kerana walaupun berdepan kesukaran kewangan, dia tetap berjaya menamatkan pengajian di universiti dan mendapat pekerjaan tidak lama selepas itu,” kata Lim ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UTP ke-26 di sini.

Lim berkata ibu dan bapa saudaranya kemudian mengambil tanggungjawab menjaga mereka, termasuk menyediakan tempat tinggal selepas rumah keluarga mereka dijual tanpa pengetahuan adik-beradik itu.

“Walaupun kehilangan rumah pertama, mereka memberikan saya sebuah rumah kedua. Saya mempunyai tempat untuk pulang setiap kali cuti semester dan menyambut perayaan. Jika tidak, saya sendiri tidak tahu ke mana saya harus pergi,” katanya.

Peluang melanjutkan pengajian di UTP menerusi biasiswa penuh Yayasan Universiti Teknologi Petronas (YUTP) bernilai RM180,000 bagi tempoh lima tahun bermula 2021 menjadi titik perubahan dalam kehidupannya.

Lim menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam dengan Kepujian Kelas Pertama, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.80 daripada 4.00.

Selain kecemerlangan akademik, Lim turut menghasilkan penyelidikan menggunakan sisa kacang kuda untuk membangunkan bahan flokulan berasaskan biopolimer semula jadi bagi proses penuaian mikroalga yang mencapai kecekapan sebanyak 96.15 peratus.

Inovasi itu memenangi beberapa pengiktirafan, termasuk juara kategori Ekonomi Kitaran pada PETRONAS CHESS Innovation Challenge 2024 manakala kertas penyelidikannya bakal diterbitkan dalam Lecture Notes in Civil Engineering oleh Springer Nature.

Beliau turut mengasaskan M&A Borderless Trading bersama rakan sebiliknya dari Sudan Selatan yang membekalkan pakaian profesional dan rambut palsu kepada golongan pekerja di Sudan Selatan serta Uganda, khususnya wanita.

Dalam usaha menyumbang kepada masyarakat, Lim pernah mengadakan kelas tuisyen bahasa Inggeris dalam talian secara percuma dua kali seminggu selama setahun kepada kira-kira 30 murid daripada keluarga kurang berkemampuan.

Beliau berkata pengalaman menghadiri temu duga biasiswa yang memerlukan calon berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau Inggeris menyedarkannya tentang kepentingan penguasaan bahasa serta keyakinan diri untuk merebut peluang.

“Saya sendiri tidak mempunyai peluang mendapatkan bimbingan selepas tamat tingkatan lima. Jadi, saya berharap dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak supaya belajar bersungguh-sungguh kerana sebenarnya terdapat banyak pilihan untuk mereka,” katanya yang berhasrat menceburi bidang kewangan, termasuk bekerja di institusi perbankan selepas tamat pengajian.

-- BERNAMA