KUANTAN, 1 Nov (Bernama) -- Dua pesawat FA-50M tiba di Pangkalan Udara di sini hari ini, sekali gus menandakan penghantaran pertama daripada keseluruhan 18 pesawat itu yang akan diperoleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Korea Aerospace Industries (KAI).
Menerusi hantaran di Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia, pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Labuan pada 1.45 tengah hari dan selamat mendarat di Pangkalan Udara di sini pada 3.38 petang dengan disaksikan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Kedua-dua pesawat berlepas dari Sacheon, Korea Selatan pada 29 Okt lepas sebelum melaksanakan beberapa hentian transit di Jeju, Laoag di Filipina dan Labuan.
Pesawat FA-50M M58-01 diterbangkan oleh juruterbang KAI, Lee Donkyu bersama-sama Pegawai Memerintah No 15 Skuadron Mejar Mohd Jamil Awang manakala pesawat M58-02 diterbangkan Kim Inchul berserta Pegawai Laksana No 15 Skuadron Mejar Muhammad Ashraf Wahab.
"Kedua-dua pesawat seterusnya akan menjalani proses Final Acceptance Test (FAT) oleh TUDM sebelum penerimaan rasmi yang dijangka dilaksanakan pada penghujung November 2026," menurut hantaran itu.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu antaranya Timbalan Panglima Tentera Udara Lt Jen Datuk Seri Nur Hafis Abdul Karim, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara Lt Jen Datuk Mohd Sani Omar serta Panglima Bantuan Udara Mej Jen Datuk Ahmad Khusairi Ahmad Fadli.
Sebelum ini, pesawat berkenaan dilaporkan akan dikendalikan oleh No 15 Skuadron yang kini mempunyai lebih 200 anggota, dengan persiapan penempatan operasi tertumpu di Pangkalan Udara TUDM Kuantan.
-- BERNAMA