JASIN, 1 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar mahu meneruskan usaha menangani isu setempat selain memperkasa sektor pelancongan dan produk tempatan bagi merancakkan ekonomi penduduk sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata beberapa isu berlarutan yang dibangkitkan penduduk berjaya ditangani sepanjang tempoh lima tahun beliau menyandang kerusi berkenaan, khususnya berkaitan sistem perparitan, saliran dan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan.
“Alhamdulillah, dalam tempoh hampir tiga tahun ini, kalau hujan lebat, saya boleh tidur dengan tenang.
“Selain itu, kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan turut dilaksanakan bagi memastikan kerja pemangkasan pokok serta aktiviti gotong-royong dijalankan secara berkala demi keselamatan penduduk,” katanya kepada Bernama ketika menyantuni penduduk di Chohong di sini hari ini.
Bekas Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri itu berkata aspek kebajikan penduduk turut diberi perhatian, termasuk membantu membaik pulih rumah daif serta menyalurkan peruntukan bagi penyelenggaraan kemudahan awam yang memerlukan tindakan segera.
Khaidirah, 42, berkata beliau turut berhasrat merancakkan ekonomi DUN Rim dengan memanfaatkan potensi produk tempatan, kemahiran penduduk dan tarikan pelancongan sedia ada tanpa terlalu bergantung kepada pembangunan berskala besar.
“Kawasan Rim mempunyai pelbagai potensi termasuk Tasik Chinchin, sungai yang menarik, produk makanan tempatan, perusahaan batik dan tarikan ekopelancongan yang boleh diketengahkan menerusi promosi serta pembangunan pakej pelancongan lebih menarik.
“Terdapat juga laluan denai yang berpotensi untuk aktiviti sukan lasak, selain konsep inap desa yang memberi peluang kepada pengunjung menikmati kehidupan kampung dan boleh dikembangkan bagi menarik lebih ramai pelancong,” katanya.
Mengulas persaingan pada PRN kali ini, Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin itu berkata beliau akan terus turun padang dan melaksanakan tanggungjawab terhadap penduduk seperti biasa meskipun berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Esma Eazreen Husin.
“Kita juga berharap semua kempen berlangsung secara sihat tanpa cercaan, penghinaan atau tuduh-menuduh, termasuk dalam kalangan penyokong di media sosial, untuk mengekalkan suasana persaingan yang matang dan harmoni,” katanya.
Pengundian awal bagi PRN Melaka ke-16 ditetapkan pada 10 Nov manakala hari pengundian pada 14 Nov ini.
Untuk berita terkini PRN Melaka ke-16, layari portal pilihan raya Bernama di https://election.bernama.com/prn/melaka/2026.
-- BERNAMA
.