KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Pembangunan perumahan global perlu beralih daripada pendekatan melihat kediaman sebagai komoditi komersial semata-mata, selain mengelakkan kawasan kejiranan bandar menjadi hutan konkrit tanpa hubungan kemasyarakatan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga, yang juga Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) itu berkata kemajuan sesebuah bandar tidak seharusnya dinilai berdasarkan ketinggian bangunan pencakar langit sahaja, sebaliknya berdasarkan peningkatan kesejahteraan masyarakat yang merangkumi empat piawaian utama, iaitu kemampuan memiliki rumah, selesa didiami, mempunyai jaringan hubungan yang baik serta dilengkapi dengan kemudahan asas yang menyeluruh.
“Perumahan tidak seharusnya dianggap sekadar komoditi untuk tujuan jual beli, tetapi juga perlu dilihat sebagai tempat setiap keluarga membina kehidupan yang selamat dan stabil. Kita bukan sahaja perlu memastikan rakyat mampu memiliki rumah, malah menjamin mereka dapat menjalani kehidupan dengan tenang, selesa dan bermaruah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Hari Bandar Sedunia 2026 bertemakan “Membina Perumahan Berkualiti Tinggi untuk Rakyat” di Fuzhou, China.
Nga berkata usaha mencapai matlamat itu memerlukan tindakan bersepadu membabitkan kerajaan, kontraktor, pemaju serta seluruh lapisan masyarakat.
Beliau berkata perancangan bandar berteraskan keperluan rakyat perlu disokong oleh pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang lengkap, termasuk sistem pengangkutan awam bersepadu, sekolah, pusat perubatan serta kawasan rekreasi bagi mewujudkan komuniti kejiranan yang harmoni.
“Rumah yang berkualiti sahaja tidak mencukupi. Kita juga memerlukan komuniti yang harmoni. Kawasan kejiranan yang dipenuhi dengan bangunan tinggi tanpa hubungan kemasyarakatan hanya sebuah hutan konkrit,” katanya.
Nga turut menggesa pihak berkuasa tempatan dan pemaju di seluruh dunia mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI), amalan pembangunan hijau serta teknologi pembinaan pintar bagi meningkatkan kualiti bangunan, kecekapan tenaga dan daya tahan terhadap perubahan iklim serta bencana alam.
“Pembangunan bandar tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah bangunan pencakar langit yang dibina, tetapi sama ada kualiti hidup rakyat benar-benar meningkat. Demikianlah inti pati pembangunan bandar yang berteraskan keperluan rakyat,” katanya.
Menyentuh tentang kerjasama serantau, beliau berkata Ipoh Accord yang dimeterai bersempena dengan Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Menteri ASEAN–China Keempat mengenai Pembinaan dan Perumahan di Perak pada 1 Ogos lepas, menjadi asas kepada pelaksanaan inisiatif rentas sempadan merangkumi pembangunan bangunan hijau dan teknologi rendah karbon, pembaharuan bandar dan penaiktarafan persekitaran bagi kehidupan komuniti.
Nga yakin kerjasama berterusan antara Malaysia–China dengan ASEAN–China akan memacu pembangunan mampan untuk generasi akan datang.
“Kita tidak mewarisi bumi daripada nenek moyang, sebaliknya meminjamnya daripada anak-anak kita. Setiap rumah yang kita bina dan setiap komuniti yang kita rancang hari ini bukan sahaja perlu memenuhi keperluan generasi masa kini, tetapi juga generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA