Am 01/11/2026 06:07 PM

Pusat Hiburan Haram Disyaki Terbabit Aktiviti Dadah Diserbu, 417 Individu Ditahan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pusat Hiburan Haram Disyaki Terbabit Aktiviti Dadah Diserbu, 417 Individu Ditahan
Kredit: IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Sebanyak 417 individu ditahan selepas sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen dan disyaki menjadi sarang aktiviti penyalahgunaan dadah di Jalan Sultan Ismail di sini diserbu polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata kesemua yang ditahan dalam serbuan bermula kira-kira 2.30 pagi itu terdiri daripada penjaga premis, pekerja serta pengunjung, termasuk empat warga Bangladesh.

“Serbuan dijalankan susulan maklumat berhubung premis hiburan itu dikaitkan dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tujuan dokumentasi dan ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, polis menahan lapan individu, termasuk enam warga asing di sebuah lagi pusat hiburan tidak berlesen di Jalan Tun Razak kira-kira 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Annas Sulaiman berkata serbuan menerusi Ops Noda itu digerakkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Wangsa Maju.

“Lapan lelaki yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun, termasuk enam warga asing yang terdiri daripada dua warga Bangladesh dan dua warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta dua warga China,” katanya.

Annas berkata polis turut merampas pelbagai peralatan sistem audio, termasuk dua unit pemain Multi Player DJ jenama Pioneer, mikrofon, pembesar suara, penguat bunyi (amplifier), empat botol minuman keras pelbagai jenama serta resit jualan perniagaan yang dianggarkan bernilai lebih RM2,100.

Beliau berkata semua tangkapan serta barang rampasan dibawa ke IPD Wangsa Maju dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

-- BERNAMA