Am 01/11/2026 05:44 PM

PRN Melaka: MCMC Tidak Ganggu Kempen Dalam Talian, Pantau Dan Ambil Tindakan Atas Aduan - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Melaka: MCMC Tidak Ganggu Kempen Dalam Talian, Pantau Dan Ambil Tindakan Atas Aduan - Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyampaikan sijil kepada wira internet selamat, Muhammad Daniel Mohd Faudzi (dua, kanan) pada program kempen internet selamat di Multimedia University (MMU) hari ini. Turut bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah (kiri) dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bukhari Yahya (kanan).

MELAKA, 1 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak akan masuk campur terhadap sebarang kempen menerusi media sosial melibatkan mana-mana parti bertanding sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, menurut Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Sebaliknya, beliau berkata MCMC akan melakukan pemantauan aktif dan hanya akan mengambil tindakan atau siasatan terhadap mana-mana hantaran di platform media sosial sekiranya menerima aduan daripada orang awam.

“Setakat ini dua mekanisme ini yang akan diguna pakai MCMC untuk apa-apa hantaran melibatkan kempen parti bertanding di platform media sosial,” katanya ketika ditanya mengenai langkah pemantauan dalam talian oleh MCMC sepanjang tempoh PRN Melaka yang dijadual berlangsung 14 Nov ini. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Internet Selamat di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Fahmi berkata MCMC juga akan melakukan pemantauan melibatkan penyalahgunaan akaun media sosial untuk menyebar maklumat palsu, penggunaan kandungan deepfake atau palsu asli serta jelek melampau.

“Kita juga pantau ada satu trend iaitu sesuatu kandungan itu dimuat naik oleh akaun palsu. Setelah kandungan itu dimuat naik, akaun palsu itu hilang. Ini yang kerap berlaku dan bukan hanya kita jangkakan sepanjang PRN sahaja, ia semakin dikesan dan agak membimbangkan.

“Kita dapati banyak kandungan yang sebelum ini membuat kenyataan menghina kepada Yang di-Pertuan Agong daripada akaun-akaun yang berpangkalan di luar negara. Bila diteliti, kita dapati akaun-akaun itu kebanyakannya atau 98 peratus adalah akaun palsu, jadi perkara ini kita ambil perhatian serius,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan Pakatan Harapan (PH) menamakan Naib Presiden Parti Amanah Negara Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri, Fahmi menyifatkan keputusan itu sebagai pemilihan figura yang berpengalaman.

“Beliau seorang yang berpengalaman, sudah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dua penggal, pernah menjadi Ketua Menteri, jadi tiada masalah,” kata Fahmi yang juga merupakan Pengarah Komunikasi PH.

Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata Adly, yang juga calon gabungan itu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, dipilih sebagai poster boy dan calon Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu menang PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Bagi mendapatkan berita terikini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/

-- BERNAMA