JASIN, 1 Nov (Bernama) -- Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah selepas merampas Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 3.326 kilogram serta barangan sitaan lain bernilai keseluruhan RM617,714 di Merlimau pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Jasin Superintenden Lee Robert berkata suspek lelaki berusia 45 tahun dan wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai tukang masak serta juruwang itu ditahan kira-kira 1.40 tengah hari di tepi jalan di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin), Merlimau di sini, hasil maklumat dan risikan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang digunakan suspek membawa kepada penemuan dadah yang dibungkus dalam paket dan disimpan di dalam sebuah kotak di tempat duduk penumpang.
“Selain dadah, polis turut menyita kenderaan yang dianggarkan bernilai RM100,000, barang kemas seberat kira-kira 26 gram bernilai RM18,814 serta wang tunai RM2,800,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini hari ini.
Lee berkata siasatan awal mendapati mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti pengambilan dan pengendalian bekalan dadah sejak Oktober lepas.
Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai orang tengah untuk menghantar bekalan dadah di sekitar Melaka, namun polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan, destinasi penghantaran serta rangkaian pengedaran yang terlibat.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dadah manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah atau jenayah.
“Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-- BERNAMA