BATU PAHAT, 1 Nov (Bernama) -- Dua individu maut manakala tiga lagi cedera, termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori 10 tan dan sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Yong Peng, berhampiran Tabika KEMAS Kampung Sri Wangi, Yong Peng di sini hari ini.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah pemandu lelaki berusia 46 tahun dan penumpang wanita berusia 40 tahun yang tersepit di dalam kereta Perodua Alza berkenaan.
Tiga yang cedera ialah pemandu lori lelaki berusia 30 tahun serta dua penumpang Perodua Alza, iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Alif Halim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.24 tengah hari.
Beliau berkata sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai dan tiba pada 12.34 tengah hari.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan lori Hino 10 tan dan kereta Perodua Alza.
“Pemandu lelaki dan penumpang wanita Perodua Alza didapati tersepit di dalam kenderaan. PKO bertindak menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Alif berkata kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata kesemua mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut manakala jenazah mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.
-- BERNAMA