Am 01/11/2026 04:59 PM

39 Pusat Peperiksaan SPM Di Terengganu Berisiko Banjir - JPNT

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
39 Pusat Peperiksaan SPM Di Terengganu Berisiko Banjir - JPNT
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

KUALA TERENGGANU, 1 Nov (Bernama) -- Sebanyak 39 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Terengganu dikenal pasti berisiko terjejas banjir, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Kamsah@Kamal Mohamed.

Beliau berkata Setiu mencatat jumlah tertinggi dengan 12 sekolah dikenal pasti berisiko, termasuk membabitkan laluan masuk yang dinaiki air.

"Di daerah Hulu Terengganu pula, empat sekolah berisiko banjir dan dua sekolah berisiko melibatkan laluan masuk yang dinaiki air.

"Susulan itu, calon yang terjejas akan dipindahkan ke sekolah berhampiran yang mempunyai asrama atau bangunan bertingkat, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, SMK Landas, SMK Kuala Jenderis dan SMK Matang jika air naik secara mendadak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata di Kemaman pula, lima sekolah dikenal pasti berisiko terjejas banjir.

"Daerah Besut melibatkan enam sekolah, daerah Dungun pula empat, Kuala Nerus dua dan Marang empat sekolah yang berisiko," katanya.

Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi banjir, beliau berkata JPNT menyediakan pelan kontingensi termasuk memindahkan calon ke 15 pusat peperiksaan alternatif sekiranya pusat asal tidak dapat beroperasi.

Beliau berkata JPNT turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan pergerakan calon lancar sekiranya berlaku banjir.

"Ini termasuk menyediakan kenderaan bersiap siaga 24 jam serta menempatkan bas jabatan di semua daerah untuk pemindahan segera jika paras air meningkat mendadak," katanya.

Peperiksaan bertulis SPM 2026 diadakan pada 23 Nov hingga 17 Dis depan, manakala Monsun Timur Laut bermula pada 27 Okt lepas dan dijangka berterusan hingga Mac 2027.

-- BERNAMA