PETALING JAYA, 1 Nov (Bernama) -- Kepelbagaian kaum, budaya dan agama di Malaysia perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan untuk memacu kejayaan negara serta membina masyarakat inklusif, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata kejayaan Malaysia didukung oleh keupayaan rakyat, tanpa mengira latar belakang, untuk mengutamakan kepentingan negara dan memikul tanggungjawab bersama dalam pembangunan negara, satu keistimewaan yang turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa.
“Namun di Malaysia, perkara yang penting ialah bagaimana kita semua dapat mencari penyelesaian dengan menghargai kepelbagaian dimiliki kerana itulah sebenarnya kekuatan kita,” katanya dalam ucapan pada pelancaran Diwali Dhamaka Fest 2026 di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Hitesh Rajpal dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Gobind berkata penganjuran festival yang mengetengahkan kepelbagaian budaya, kepercayaan agama, makanan dan pakaian tradisional itu mencerminkan identiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Beliau turut memuji usahawan yang menyumbang hasil kraf tangan, makanan dan pakaian bagi menjayakan acara itu, sambil berharap festival berkenaan dapat dianjurkan secara tahunan.
Sementara itu, Hitesh berkata diaspora India berperanan sebagai penghubung penting antara Malaysia dan India, dengan sambutan kebudayaan seperti Deepavali membantu mengeratkan hubungan dua hala serta memupuk persefahaman antara kedua-dua negara.
Beliau berkata Suruhanjaya Tinggi India kekal komited untuk mendekati masyarakat India di Malaysia menerusi program kemasyarakatan, aktiviti kebudayaan serta inisiatif yang melibatkan golongan belia dan pelajar.
Diwali Dhamaka Fest 2026 yang berlangsung dari 30 Okt hingga 1 Nov dianjurkan oleh GSR Events dengan kerjasama stesen radio Sama Sama Oye!, menampilkan warisan, tekstil, makanan dan persembahan kebudayaan India utara.
-- BERNAMA