KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Usaha memperluas bantuan pendidikan kepada lebih ramai pelajar daripada keluarga miskin di Parlimen Bandar Tun Razak akan dilaksanakan mengikut keutamaan dan kemampuan, kata Ahli Parlimennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata pendekatan itu bagi memastikan bantuan disalurkan dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Memang kita nak (bantu) semua, tetapi tengok atas kapasiti kita dan juga bagaimana kita nak pastikan mereka yang betul-betul memerlukan mendapat peluang ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sejahtera MADANI: Pendidikan di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa di sini hari ini.
Menerusi program itu, sebanyak 43 pelajar daripada keluarga miskin yang berdaftar dalam sistem eKasih di Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM500 dan baucar kelengkapan persekolahan RM100 seorang.
Terdahulu, Dr Wan Azizah dalam ucapannya berkata pendidikan mampu membuka banyak peluang dan laluan untuk anak-anak merintis masa depan dan memenuhi potensi masing-masing terutamanya dalam mencapai impian serta cita-cita termasuk membantu ibu bapa dan keluarga.
Justeru, beliau berharap pelajar yang menerima manfaat hari ini akan memasang tekad untuk mula menabung dan belajar bersungguh-sungguh sehingga peringkat tertinggi.
-- BERNAMA