KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Zetrix AI Bhd, My EG Sdn Bhd, dikenakan taksiran cukai pendapatan tambahan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM353.13 juta pada Rabu.
Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia Zetrix AI memaklumkan taksiran tersebut adalah berkaitan dengan penentuan harga pindahan berjumlah RM333.10 juta dan faedah yang dianggap terakru berjumlah RM20.02 juta bagi tahun taksiran 2021, 2022 dan 2023, termasuk penalti.
"Surat yang sama turut memaklumkan MyEG bahawa kerajaan Malaysia telah memfailkan saman sivil terhadap MyEG berhubung perkara ini," maklumnya.
Menurut Zetrix AI, MyEG yakin dengan kewajaran pendiriannya dan akan mengambil segala langkah yang perlu untuk melindungi kepentingannya, termasuk mempertahankan pendirian tersebut melalui saluran undang-undang yang sewajarnya apabila perlu.
Pada masa yang sama, MyEG juga telah memfailkan rayuan untuk mencabar taksiran cukai pendapatan tambahan tersebut di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, di samping berusaha untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dengan LHDN.
"Syarikat akan membuat pengumuman lanjut mengenai sebarang perkembangan penting berhubung prosiding undang-undang tersebut," maklumnya.
Sementara itu, dalam satu makluman berasingan, Zetrix AI memaklumkan ia masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada kerajaan berhubung satu laporan berita dua hari lepas yang mendakwa kerajaan merancang untuk menyaman Zetrix AI berhubung tunggakan berjumlah RM314 juta.
Menurutnya, syarikat itu akan membuat pengumuman yang sewajarnya mengenai sebarang perkembangan penting apabila masanya.
-- BERNAMA