Dunia 29/10/2026 10:22 PM

Perlanggaran Kereta Api Di Tengah Sepanyol: Lebih 60 Orang Masih Hilang - Laporan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perlanggaran Kereta Api Di Tengah Sepanyol: Lebih 60 Orang Masih Hilang - Laporan
Kren mengangkat gerabak kereta api yang rosak ketika pasukan penyelamat mencari mangsa susulan pertembungan dua buah kereta api di Urda, Sepanyol, pada Khamis, 29 Okt. 2026. . (AP Photo/Manu Fernandez)

MOSCOW, 29 Okt (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Lebih 60 orang masih hilang susulan perlanggaran antara dua kereta api di tengah Sepanyol, lapor akhbar El Pais pada Khamis yang memetik Pengawal Awam Sepanyol, menurut Sputnik/RIA Novosti.

Pengawal Awam itu menerima 64 laporan mengenai orang hilang susulan kemalangan tragik di wilayah Toledo, menurut laporan berkenaan. Laporan itu dibuat oleh ahli keluarga dan kenalan penumpang yang gagal menghubungi mereka, menurut akhbar itu.

Pengawal Awam turut menubuhkan perkhidmatan khas untuk mengendalikan pertanyaan berkenaan.

Sekurang-kurangnya 42 warga asing berada di dalam kedua-dua kereta api itu, lapor Europa Press yang memetik Kementerian Luar Sepanyol.

Seorang daripada mereka, warga Argentina, dilaporkan maut manakala 10 lagi tidak mengalami kecederaan dan enam cedera, menurut laporan. Seramai 24 lagi masih hilang.

Dua kereta api penumpang bertembung di wilayah Toledo, Sepanyol, pada 28 Okt selepas kerosakan komputer menyebabkan sistem keselamatan tidak berfungsi.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan hampir 70 orang maut manakala tiga hari berkabung kebangsaan diisytiharkan.

Kedutaan Rusia di Sepanyol memberitahu RIA Novosti bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada warga Rusia berhubung perlanggaran kereta api itu.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI