KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- SD Guthrie Bhd akan menjual tanah seluas 657.09 hektar di Bukit Kerayong, Selangor kepada Pembangunan Perindustrian Bukit Kerayong (BKID) pada harga RM933.57 juta dan bekerjasama dengan Bumi Assets Sdn Bhd serta YTL Power International Bhd untuk membangunkan tapak itu menjadi taman perindustrian.
Syarikat-syarikat tersebut melalui satu kenyataan bersama berkata tanah itu akan dibangunkan menjadi taman perindustrian ringan hingga sederhana, dilengkapi dengan komponen komersial serta infrastruktur sokongan.
Usaha sama (JV) itu akan dilaksanakan melalui BKID, dengan SD Guthrie memegang kepentingan ekuiti 30 peratus melalui anak syarikat milik penuhnya, SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd.
Bumi Assets dan YTL Power masing-masing akan memegang 35 peratus kepentingan, dengan YTL Power melabur melalui anak syarikat milik penuhnya, Bukit Kerayong Industrial Venture Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SD Guthrie berkata ia akan melabur sehingga RM101.12 juta dalam JV itu, terdiri daripada RM3 juta untuk kepentingan ekuitinya dan pendahuluan jangka pendek sehingga RM98.12 juta bagi membiayai pengambilan tanah selain kos berkaitan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad berkata urus niaga itu menandakan satu peristiwa penting dalam membuka kunci nilai jangka panjang bank tanah strategik kumpulan sambil mewujudkan peluang untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mampan di Selangor.
“Lokasi strategik Bukit Kerayong, disokong oleh kesalinghubungan yang kukuh melalui Lebuhraya Pantai Barat dan Lebuhraya Lembah Klang Utara, selain berdekatan dengan Pelabuhan Klang Utara dan Pelabuhan Barat, memberikan potensi besar untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi pembangunan industri serta logistik berkualiti tinggi,” katanya melalui satu kenyataan bersama.
Wakil Bumi Assets Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail Syed Amir Abidin Jamalullail berkata matlamatnya adalah untuk menarik perniagaan dalam menubuhkan dan mengembangkan operasi mereka di kawasan berkenaan, mewujudkan pekerjaan dan peluang kepada perusahaan tempatan merentasi rantaian bekalan.
Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata rakan-rakan kongsi itu menyasarkan untuk membangunkan Bukit Kerayong menjadi destinasi perindustrian yang mampan dan mempunyai hubungan yang baik yang mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi.
Beliau berkata pengalaman YTL Power dalam membangunkan dan mengendalikan kuasa, air, telekomunikasi dan infrastruktur digital, bersama dengan keupayaannya dalam kecerdasan buatan serta pengkomputeran awan, akan menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.
Projek itu dijangka merangsang aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan berterusan masyarakat sekitar.
-- BERNAMA