Politik 29/10/2026 12:35 AM

PRN Melaka: Jentera BN Diseru Berkempen Secara Berhemah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Melaka: Jentera BN Diseru Berkempen Secara Berhemah
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyeru supaya pimpinan serta jentera Barisan Nasional (BN) berkempen secara berhemah dan berakhlak sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata gabungan itu tidak perlu terjebak dalam perbuatan memfitnah, mengeji atau memaki hamun parti lawan.

Beliau berkata perkara itu antara ketetapan yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn, di sini malam ini.

“MT turut bersetuju mengabsahkan kerjasama dan persefahaman politik dengan PAS serta rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Melaka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata seluruh jentera dan penyokong parti juga diarahkan supaya memberikan sokongan penuh kepada calon-calon PN yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada gabungan itu.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata mesyuarat berkenaan bersetuju supaya BN dan PN melancarkan manifesto pilihan raya bersama bagi menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat serta meneruskan kecemerlangan perkhidmatan dan pembangunan negeri Melaka.

“Ada satu sahaja manifesto, BN-PN. Tidak ada asing seperti mana sebelum ini. Manifesto sekali, jentera pun sekali, segala-galanya sekali. Itu yang telah pun diputuskan,” katanya.

Beliau berkata manifesto bersama itu dirancang dilancarkan pada sebelah petang selepas hari penamaan calon, namun sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian.

Hari penamaan calon PRN Melaka akan berlangsung pada Sabtu ini manakala undi awal dan hari pengundian masing-masing ditetapkan pada 10 dan 14 Nov ini.

-- BERNAMA