Ekonomi 29/10/2026 12:25 AM

Harga Komoditi Dijangka Naik 23 Peratus Tahun Ini Susulan Kejutan Global - Bank Dunia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Harga Komoditi Dijangka Naik 23 Peratus Tahun Ini Susulan Kejutan Global - Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Bank Dunia menjangkakan harga komoditi naik 23 peratus pada 2026 susulan kejutan global yang semakin meningkat, dengan konflik di Asia Barat telah mengurangkan inventori minyak dan dijangka melonjakkan harga tenaga ke paras tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Dalam laporan Unjuran Pasaran Komoditi Kumpulan Bank Dunia yang dikeluarkan hari ini, Bank Dunia memaklumkan gangguan terhadap penghantaran bijirin dan fenomena El Niño mengancam hasil tuaian serta kemampuan untuk mendapatkan makanan pada harga yang berpatutan.

“Memandangkan stok minyak telah menyusut, dunia lebih terdedah kepada kejutan bekalan yang seterusnya. Dalam usaha negara-negara menangani cabaran ini, Kumpulan Bank Dunia menyediakan pembiayaan dan sokongan melalui instrumen sedia ada.

“Selain itu, kami meningkatkan kemampuan untuk menggerakkan modal swasta bersama-sama sumber miliknya sendiri,” menurut Bank Dunia dalam kenyataan yang dikeluarkan di Washington.

Timbalan Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia yang juga Pengarah Prospects Group Ayhan Kose berkata peningkatan kos tenaga dan gangguan perdagangan telah mendorong kenaikan harga pelbagai komoditi, yang berisiko menjejaskan lagi inflasi, ketidakjaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi.

Menurut Bank Dunia harga tenaga diunjurkan meningkat 32 peratus pada 2026, sekali gus mengakhiri trend penurunan selama tiga tahun, sebelum kembali menyederhana pada 2027.

Menurutnya harga minyak mentah Brent diunjurkan mencatat purata US$91 setong pada 2026, meningkat daripada US$69 pada 2025 sebelum menurun kepada US$79 pada 2027.

Bank Dunia memaklumkan bekalan minyak global diunjurkan merosot 5.2 peratus pada 2026, penurunan terbesar dalam tempoh lebih empat dekad, tidak termasuk kemelesetan global pada 2020.

Penggunaan minyak global dijangka menyusut 2.6 juta tong sehari atau 2.5 peratus pada 2026, iaitu penurunan ketiga terbesar yang pernah direkodkan, selepas tempoh pandemik pada 2020 dan pergolakan pasaran minyak pada 1980.

“Harga yang tinggi dalam keadaan kekurangan bekalan mengehadkan permintaan manakala elektrifikasi turut mengurangkan penggunaan minyak terutama di China.

“Bagaimanapun, pengeluaran masih lebih rendah daripada paras penggunaan, yang mendorong pengeluaran minyak daripada stok simpanan secara berterusan dan menyebabkan pasaran lebih terdedah kepada gangguan baharu,” menurut Bank Dunia.

Menurutnya risiko terhadap pasaran minyak berkaitan konflik bukan sahaja terhad kepada Asia Barat.

“Walaupun eksport Rusia diandaikan tidak mengalami kekangan pada tahun depan dalam senario asas, kerosakan terhadap infrastrukturnya telah mengurangkan eksport produk minyak dengan ketara pada suku ketiga 2026,” menurut Bank Dunia.

-- BERNAMA