Am 29/10/2026 12:04 AM

redONE Mobile, Mr. Helmet Bekerjasama Tawar Sanitasi Topi Keledar Di 18 Cawangan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
redONE Mobile, Mr. Helmet Bekerjasama Tawar Sanitasi Topi Keledar Di 18 Cawangan

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- redONE Mobile bekerjasama dengan CleanXpert Sdn Bhd, pengendali Mr. Helmet, untuk memperkenalkan perkhidmatan sanitasi topi keledar automatik di 18 cawangan redONE Mobile di tujuh negeri.

Ketua Pegawai Jualan Kumpulan redONE Mobile Ben Teh berkata kerjasama itu bertujuan menawarkan manfaat praktikal kepada penunggang motosikal, terutamanya pekerja ekonomi gig yang bergantung pada motosikal mereka untuk mencari pendapatan.

"Kerjasama ini bukan sekadar mencuci topi keledar, tetapi satu manfaat yang cukup baik," katanya ketika berucap pada majlis penadatanganan perkongsian strategik itu di Puchong, dekat sini semalam.

Teh berkata kerjasama itu juga dapat membuka ruang kepada manfaat tambahan, termasuk membolehkan pelanggan memilih antara baucar petrol dengan sesi pembersihan topi keledar percuma pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CleanXpert Sdn Bhd Razalee Yahya berkata kerjasama berkenaan akan membantu menjadikan perkhidmatan sanitasi topi keledar lebih mudah diakses oleh semua penunggang motosikal, bukan hanya mereka yang bekerja dalam ekonomi gig.

"Bagi saya, kerjasama ini sebenarnya memberikan lebih nilai kepada pelanggan kami dan juga peluang kepada semua orang untuk merasai manfaatnya sebagai satu kerjasama jangka panjang," katanya.

Razalee berharap kerjasama itu juga dapat berkembang menjadi perkongsian jangka panjang, sekali gus membolehkan kedua-dua syarikat memperluas perkhidmatan dan menjangkau lebih ramai penunggang.

Menerusi kerjasama tersebut, mesin sanitasi automatik Mr. Helmet akan ditempatkan di cawangan terpilih redONE Mobile di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Johor.

Mesin berkenaan boleh digunakan 24 jam sehari, menawarkan perkhidmatan sanitasi asas topi keledar pada harga RM7 setiap sesi, pencucian VIP berharga RM10 dan perkhidmatan pengeringan pantas pada RM2.

Inisiatif tersebut turut melengkapi manfaat sedia ada redONE Mobile yang berfokuskan penunggang termasuk perlindungan insurans percuma, baucar petrol dan topi keledar.

Kerjasama itu turut memperkukuh pelan pascabayar redplanKM48 syarikat berkenaan yang direka khusus untuk penunggang serta pemandu e-hailing dan p-hailing.

Pelanggan akan menerima keahlian Mr. Helmet selama setahun termasuk satu baucar pembersihan VIP percuma setiap bulan selama 12 bulan berturut-turut bernilai keseluruhan RM120, selain manfaat baucar petrol RM120 yang sedia ada dalam pelan tersebut.

Untuk maklumat lanjut tentang pelan, promosi dan inisiatif komuniti redONE Mobile, layari redonemobile.com.my, manakala butiran mengenai perkhidmatan pembersihan dan sanitasi topi keledar Mr. Helmet boleh didapati menerusi mrhelmet.io.

-- BERNAMA