Am 29/10/2026 12:26 AM

IOW JAPEN Capai 1.65 Juta Khalayak Di Seluruh Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
IOW JAPEN Capai 1.65 Juta Khalayak Di Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) melaksanakan program Info On Wheels (IOW) di 23,962 lokasi di seluruh negara, melibatkan 1.65 juta khalayak bagi tempoh 1 Jan hingga 23 Sept lepas dalam usaha memperluas penyampaian maklumat mengenai dasar, bantuan dan inisiatif Kerajaan MADANI.

Kementerian Komunikasi memaklumkan sebanyak 5,571 program JIWA@Komuniti MADANI: Sembang Santai turut dilaksanakan dalam tempoh sama, melibatkan 616,961 ahli Komuniti MADANI bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pelbagai inisiatif kerajaan.

Menurut kementerian itu, program berkenaan merupakan antara strategi komunikasi kerajaan yang dilaksanakan secara menyeluruh, inklusif dan berterusan menerusi pendekatan bersemuka, penyelarasan naratif, penerbitan bahan komunikasi serta hebahan digital mengikut keperluan kumpulan sasar.

“Bagi memastikan mesej yang disampaikan konsisten dan mudah difahami, sebanyak 231 naratif dan pointers berkaitan dasar, bantuan, program dan pencapaian Kerajaan MADANI telah disediakan sebagai rujukan pegawai lapangan.

“Naratif berkenaan merangkumi empat kerangka utama iaitu ekonomi untuk rakyat, kepimpinan berintegriti, kesepaduan nasional dan pencapaian konsisten, dengan penekanan terhadap penjelasan manfaat dasar kepada rakyat menggunakan bahasa yang mudah difahami,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen hari ini.

-- LAGI

 

PARLIMEN-KOMUNIKASI (JAWAPAN BERTULIS) 2 KUALA LUMPUR

 

Kementerian itu menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai strategi komunikasi kerajaan dalam menangani kekeliruan rakyat terhadap dasar dan manfaat kerajaan sehingga mudah terpengaruh dengan maklumat palsu serta propaganda.

Dalam memperluas capaian digital, sebanyak 9,294 hantaran dimuat naik menerusi media sosial rasmi JAPEN, termasuk 1,298 kandungan kreatif yang merekodkan 16.51 juta tontonan sehingga 22 Sept lepas.

Usaha itu turut disokong menerusi penerbitan 50 risalah, 35 buletin dan empat buku kecil, selain penganjuran 68 pameran yang menarik 162,900 pengunjung serta penggunaan 4,000 skrin menerusi kerjasama dengan rakan strategik.

Kementerian itu memaklumkan kerajaan akan terus memperkukuh komunikasi bersepadu menerusi pelbagai saluran bagi memastikan rakyat memperoleh maklumat sahih, jelas dan mudah difahami, sekali gus membolehkan mereka membuat penilaian berdasarkan fakta serta tidak mudah terpengaruh dengan naratif mengelirukan.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai tahap liputan Internet berkelajuan tinggi serta masalah capaian Internet lemah atau tiada liputan di kawasan Parlimen itu, Kementerian Komunikasi memaklumkan sebanyak 37 kawasan dikenal pasti mengalami masalah berkenaan bagi tempoh 1 Jan hingga 1 Sept lepas.

-- LAGI

 

PARLIMEN-KOMUNIKASI (JAWAPAN BERTULIS) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR

 

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan 104 Notis Ketidakpatuhan kepada pemberi perkhidmatan antara 11 Mac hingga 5 Ogos lepas bagi mendapatkan pelan penambahbaikan di lokasi terlibat.

“Sebanyak 51 ketidakpatuhan telah diselesaikan melalui pengoptimuman rangkaian sedia ada, manakala 33 lagi akan ditangani menerusi penambahbaikan liputan dan kapasiti rangkaian. Baki 20 memerlukan tindakan lanjut melalui Arahan Suruhanjaya,” menurut jawapan bertulis itu.

Menurut kementerian itu, liputan Internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk Parlimen Beaufort telah mencapai 99.57 peratus setakat 1 Sept lepas menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Sebanyak 29 menara komunikasi telah siap dibina dan 113 stesen pemancar dinaik taraf, manakala 7,526 premis tersedia dengan capaian gentian optik.

Bagi rangkaian 5G, Digital Nasional Berhad (DNB) menyediakan liputan kepada 20 peratus kawasan berpenduduk menerusi satu tapak pemancar, manakala U Mobile Sdn Bhd mencapai liputan 42.80 peratus menerusi lima tapak pemancar yang dinaik taraf setakat tarikh sama.

-- BERNAMA